Mengambil kira keluhan peniaga dan perokok, akhirnya kerajaan masih lagi berkompromi dengan golongan tersebut apabila memberi kelonggaran kepada perokok untuk merokok di tempat awam walaupun larangan merokok di kedai makan dan restoran terbuka berkuatkuasa dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.

Walau bagaimanapun, perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari premis makanan. Bagi pengusaha premis makanan pula, kerajaan menetapkan bahawa mereka perlu menaikkan tanda larangan merokok di premis mereka dan tidak menyediakan sebarang kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok mahupun bekas membuang puntung rokok.

Namun, pengusaha premis tidak perlu khuatir jika terdapat segelintir perokok yang masih berdegil menghisap rokok dalam kawasan premis kerana pengusaha premis diberi jaminan bahawa mereka tidak akan dikenakan tindakan ke atas kesalahan perokok yang degil. Pengusaha premis makanan boleh menghubungi talian ‘hotline’ yang beroperasi 24 jam untuk membuat aduan di atas kesalahan merokok tersebut.

Bagi tempoh enam bulan pertama peraturan larangan merokok ini dilaksanakan, kementerian hanya akan memberi amaran kepada perokok dan pengusaha premis makanan yang ingkar larangan tersebut. Namun, jika perokok dan pengusaha premis makanan yang masih lagi berdegil dan melanggar peraturan, mereka akan terus disaman oleh pihak berkuasa.

Larangan merokok di premis makanan bermula pada Januari 2019

Peraturan larangan merokok itu diwarta mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bakal dikuatkuasakan Januari tahun depan yang mana mereka yang melanggarnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. Manakala, bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Kementerian Kesihatan mempunyai 5,008 pegawai kesihatan persekitaran yang boleh menguatkuasakan peraturan larangan merokok itu dengan bantuan pegawai kesihatan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini merupakan antara usaha KKM untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar daripada penyakit yang berpunca daripada asap rokok.

KKM bertegas menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan tidak kira terbuka atau tertutup adalah demi kepentingan awam. Hal ini kerana tempat makan awam adalah lokasi yang paling ramai dikunjungi oleh keluarga untuk menikmati makanan tanpa perlu dicemari oleh asap rokok.

Asap rokok amat berbahaya kepada orang yang terdedah disekelilingnya. Mereka yang menghidu asap rokok daripada rokok yang sedang menyala dan juga daripada asap yang dihembuskan oleh perokok aktif dikenali sebagai “Third-hand smoker (THS)” atau perokok ketiga.

Asap rokok membahayakan kesihatan terutamanya bagi kanak-kanak

Memandangkan asap rokok memberi banyak mudarat terhadap kesihatan orang sekeliling, larangan ini amat berpatutan kerana individu yang tidak merokok juga berhak untuk mendapatkan udara tanpa pencemaran asap rokok. Selain daripada itu, premis yang melarang perokok untuk merokok dapat menyediakan tempat yang selesa kepada pengguna untuk menjamu selera.

Oleh itu, untuk memberi peringatan kepada perokok dan juga pengusaha premis makanan, notis arahan larangan merokok di premis makan perlu ditampal dengan segera bagi mengingatkan pengusaha dan perokok mengenai undang-undang larangan merokok. Selain itu, kempen-kempen di media massa, media sosial dan stesen-stesen radio perlu diperhebatkan agar mereka yang merokok selalu diingatkan bahawasanya merokok di tempat awam terutamanya di premis makanan adalah melanggar undang-undang.

Larangan merokok ini merupakan salah satu usaha KKM untuk mengurangkan jumlah perokok serta menggalakkan perokok untuk berhenti merokok. Justeru, usaha ini perlu diberi sokongan dan dan kerjasama semua pihak demi menjaga kesihatan rakyat. Jika usaha ini mampu dilaksanakan dengan jayanya maka diharapkan kerajaan akan memperbanyakkan lagi zon larangan merokok agar dapat membudayakan amalan tidak merokok sekaligus mewujudkan persepsi bahawa perbuatan merokok adalah sesuatu perbuatan yang tidak normal.

Peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan ini bukanlah bertujuan untuk menyusahkan perokok atau mengakibatkan kerugian kepada pihak pengusaha premis makanan tetapi ia adalah semata-mata untuk memastikan semua rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan selesa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here