Siapa sangka, kemahiran yang kita miliki kini dan menggunakannya untuk mencari pendapatan, mungkin sudah menjadi lapuk pada masa akan datang. Kedatangan Revolusi Industri 4.0 (RI4.0) ternyata bakal memberi kesan kepada sektor pekerjaan. Sehubungan itu, berdasarkan Laporan Pekerjaan Masa Hadapan 2018 yang dirumuskan World Economic Forum mendapati, 10 pekerjaan baharu bakal mengambil alih di pasaran kerja dunia bagi menggantikan 10 pekerjaan yang bakal pupus.

Ini bermakna, satu lagi cabaran bakal ditempuhi kerajaan bagi mengimbangi penawaran dan permintaan pekerjaan pada masa hadapan. Oleh itu, sebagai persediaan dalam menghadapi krisis ini, kerajaan perlu mewujudkan dasar di mana pelajar boleh menjadikan pekerjaan kritikal sebagai panduan dalam memilih kursus.

Akauntan dan juruaudit adalah antara pekerjaan yang bakal pupus

Di samping itu, masyarakat kita juga perlu diberikan kesedaran secara serius dan menyeluruh terhadap isu di mana persediaan bagi menghadapi krisis ini perlu dilaksanakan. Penerimaan dan pemahaman yang baik oleh golongan ibu bapa dan guru juga akan membantu pelaksanaan dasar ini dengan lebih lancar kerana mereka akan memainkan peranan dalam mendidik dan menasihati pelajar.

Oleh demikian, penekanan mengenai proses pembelajaran sepanjang hayat juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan masyarakat kita sentiasa bersedia dengan perubahan teknologi. Sekiranya pelaksanaan dasar ini berjaya, ia sudah pasti akan membantu dan mengurangkan risiko pengangguran golongan muda.

Revolusi Industri 4.0 bakal bawa perubahan kepada sektor pekerjaan

Secara keseluruhannya, langkah meminimakan bidang kursus yang tidak praktikal untuk pasaran kerja sememangnya perlu dilakukan bagi mengelakkan jumlah pengangguran terus meningkat. Selain itu, fokus untuk melahirkan tenaga kerja mahir berdasarkan keperluan industri perlu menjadi keutamaan. Kejayaan melahirkan pekerja mahir akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kekal berdaya saing seiring dengan negara maju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here