Stigma masyarakat dahulu jika ada di antara kalangan ahli keluarga mereka yang bergelar pelajar perubatan, pasti akan menjadi kebanggaan satu keturunan. Mahu tidaknya bukan calang-calang calon yang mampu mengikuti kursus perubatan di universiti-universiti awam. Malah, pelajar-pelajar ini akan diberi jaminan peluang pekerjaan di hospital-hospital milik kerajaan.

Namun kini, nilai ‘ekslusif’ pelajar perubatan semakin hilang akibat daripada lambakan pelajar di dalam jurusan berkenaan. Malah, pendidikan perubatan di Malaysia mengalami krisis yang memerlukan perancangan jangka panjang.

Kementerian Kesihatan mahu jumlah pelajar perubatan dikurangkan namun tidak dapat menganggarkan angka yang tepat berkenaan jumlah pengambilan yang boleh dibuat institusi pengajian. Tetapi dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan tidak bersetuju dengan langkah itu kerana bimbang akan ‘bantahan awam’.

Perkara ini memerlukan perbincangan ‘meja bulat’ di antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan agar kedua-dua kementerian ini dapat memberikan angka sebenar jumlah pelajar perubatan yang diperlukan.

Perbincangan mengenai krisis pendidikan perubatan perlu dilakukan oleh pihak kementerian yang terlibat

Lambakan universiti dan kolej swasta terutamanya dalam bidang perubatan meningkatkan jumlah graduan dalam bidang berkenaan yang terpaksa bersaing dengan graduan daripada universiti awam. Perkara ini berlaku di saat sistem penjagaan kesihatan awam tidak bersedia mengambil mereka sebagai doktor pelatih.

Purata graduan perubatan dalam negara berjumlah 5,000 orang, manakala dari luar negara pula seramai lebih kurang 2,000 orang setiap tahun. Namun berdasarkan jumlah ini, kerajaan hanya mampu menyerap kira-kira 50 peratus ke dalam perkhidmatan tetap selepas masing-masing menamatkan kontrak.

Menurut Dekan Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, dalam tempoh dua tahun ini, graduan perubatan perlu menunggu sembilan bulan hingga setahun untuk bergelar doktor pelatih.

Isu ini memerlukan kajian dan perbincangan daripada kementerian yang terlibat. Institusi yang menawarkan jurusan perubatan perlu digabungkan atau dikurangkan dan melakukan pembaharuan sepenuhnya dalam bidang pendidikan perubatan.

Institusi di Malaysia terlalu memberi tumpuan untuk melahirkan ‘doktor perubatan’, namun secara ironinya sistem penjagaan kesihatan di Malaysia berdepan dengan kekurangan profesional dalam bidang berkaitan seperti ahli terapi, psikologi, fisioterapi dan pekerja sosial yang sepatutnya diberi perhatian.

Kerajaan perlu memberi fokus untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang penjagaan kesihatan selain daripada doktor

Maka pihak Kementerian Pendidikan juga perlu mengalakkan institusi pengajian ini melahirkan pakar-pakar profesional dalam bidang penjagaan kesihatan supaya sistem organisasi hospital itu seimbang dengan jumlah pakar profesional daripada pelbagai bidang.

Fenomena lambakan pelajar perubatan ini mendatangkan kerugian kepada negara dan individu.  Pelajar-pelajar yang tidak berpeluang untuk menjadi doktor pelatih mungkin mempunyai potensi di dalam bidang lain. Namun potensi mereka agak terbatas kerana masih mengharapkan peluang daripada Kementerian Kesihatan.

Oleh itu, kementerian yang terlibat perlu berbincang supaya langkah yang dicadangkan tidak merugikan kedua-dua belah pihak serta tidak mendapat ‘bantahan awam’. Perkara ini melibatkan masa hadapan graduan-graduan perubatan. Sistem penjagaan kesihatan di Malaysia bukan sahaja melibatkan doktor perubatan, bahkan profesional daripada bidang lain. Maka penumpuan juga perlu diberikan kepada golongan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here