Masalah kewangan adalah salah satu isu utama pelajar dalam menjalani kehidupan sebagai penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Kebanyakan pelajar tidak tahu bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan mereka dengan baik, terutama pelajar tahun satu yang baru sahaja melangkah masuk dari alam sekolah ke alam universiti. Pada peringkat IPTA bukan sahaja kewangan, malah banyak aspek lain lagi yang perlu diuruskan seperti penglibatan akademik dan penyediaan keperluan harian. Oleh itu, dalam hal ini ia merupakan cabaran pelajar untuk menghadapinya dengan lebih matang.

Namun begitu, sehingga kini pelajar masih berhadapan dengan masalah kewangan iaitu konflik dari segi peruntukan pendapatan dan perbelanjaan pada sepanjang tempoh pengajian mereka lebih-lebih lagi semasa kemerosotan ekonomi berlaku. Hal ini semakin kritikal apabila pelajar sering kali merasakan keperluan mereka semakin meningkat walaupun pada masa itu, elaun, biasiswa ataupun pinjaman tidak bertambah setiap tahun yang mendorong kepada berlakunya peningkatan dalam perbelanjaan mereka.

Realitinya konflik kewangan tersebut timbul disebabkan wujudnya kekeliruan dalam mengenalpasti antara barangan keperluan atau kehendak dalam kalangan pelajar berikutan kurangnya ilmu tentang pengurusan kewangan dalam diri mereka. Bagi pelajar yang mempunyai pengetahuan pengurusan kewangan pula, kebanyakannya tidak menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang ada dalam pengurusan kewangan mereka.

Pelajar gunakan wang untuk hiburan bersama rakan

Ini kerana terdapat segelintir pelajar merasakan apabila mereka berada jauh dari keluarga, maka mereka bebas untuk melakukan apa-apa sahaja tanpa diawasi termasuklah perbelanjaan harian yang melampau. Pada masa yang sama, kemasukan elaun pada setiap semester juga telah dibelanjakan oleh pelajar tanpa mengasingkan wang untuk keperluan akademik dan juga kesihatan. Sebaliknya, mereka ada menggunakan wang tersebut untuk hiburan seperti menonton wayang dan bercuti bersama rakan-rakan.

Sehubungan dengan itu, masalah kewangan merupakan antara faktor pelajar untuk melakukan kerja sambilan. Oleh itu, kebanyakan pelajar mengambil langkah untuk membuat kerja sambilan seperti berniaga ataupun bekerja di kedai makan. Walaupun kerja sambilan membantu pelajar untuk mendapatkan wang saku lebih, tetapi pelajar akan berhadapan dengan risiko tidak dapat memberi tumpuan dalam pembelajaran kerana letih bekerja serta tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberikan di sekolah ataupun universiti. Perkara ini sepatutnya dapat dielakkan kerana kebanyakan pelajar mempunyai persepsi yang baik serta sedar terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang sistematik, tetapi disebabkan oleh kurangnya dorongan dan motivasi, maka mereka tidak mampu untuk menguruskan kewangan mereka sendiri dengan sebaik-baiknya.

Justeru, kerajaan memperkenalkan Food Bank Siswa ke seluruh IPTA bagi memberi manfaat kepada pelajar universiti dalam usaha meringankan beban kos sara hidup pelajar. Program Food Bank Siswa yang dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu food pantry iaitu penyimpanan barang makanan kering di satu bilik yang sesuai untuk diagihkan manakala central kitchen iaitu sumbangan makanan dimasak dan diagihkan kepada pelajar yang layak menerima bantuan itu.

Food Bank Siswa meringankan kos sara hidup pelajar

Selain itu, pihak universiti juga sewajarnya mewujudkan pekerjaan sementara di kampus bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan memperoleh wang tambahan untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini. Sebenarnya di universiti ada banyak pekerjaan sambilan dan tidak salah sekiranya peluang itu diberikan kepada pelajar yang memerlukan wang tambahan untuk menampung perbelanjaan mereka.

Oleh itu, semua pihak khususnya kerajaan sewajarnya menangani masalah ini agar ia tidak terus berlanjutan. Malah pelajar juga perlu ada sikap beringat-ingat sebelum kena iaitu mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada kemudian harinya. Dengan adanya pengurusan kewangan yang betul, pelajar mampu membuat simpanan duit untuk kegunaan pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here