Sektor pertanian adalah sektor terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Selain getah, industri sawit juga merupakan antara tunggak kepada ekonomi Malaysia serta memberikan sumbangan yang besar kepada negara. Namun begitu, perkembangan sektor sawit di Malaysia telah menghadapi beberapa cabaran seperti harga sawit yang kurang stabil, masalah kekurangan tenaga buruh, pengeluaran sawit yang kurang konsisten dan lain-lain.

Baru-baru ini industri kelapa sawit negara merupakan antara isu yang hangat diperkatakan apabila terdapat cadangan untuk menukar tanaman tersebut kepada tanaman lain oleh Kementerian Industri Utama. Trend kejatuhan harga kelapa sawit telah mendatangkan keresahan kepada peneroka apabila sumber pendapatan mereka terjejas. Oleh itu, salah satu langkah untuk menangani permasalahan ini adalah dengan mempelbagaikan produk sawit bagi menambah nilai komersial.

Industri sawit adalah antara penyumbang kepada pendapatan negara

Kebanyakan masyarakat kita hanya tahu bahawa kelapa sawit boleh menghasilkan minyak kelapa sawit. Tidak ramai di antara kita yang tahu bahawa kelapa sawit juga boleh dijadikan produk lain yang memberi manfaat kepada kita. Antara produk yang boleh dihasilkan daripada kelapa sawit adalah sabun, bahan untuk membuat mentega, bahan membuat pomade, bahan membuat krim kulit dan lain-lain.

Selain itu, penggunaan minyak kelapa sawit sebagai alternatif menggantikan minyak pelincir kenderaan juga sudah terbukti dan ia telah disahkan oleh Pengarah Bahagian Automotif dan Sukan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP). Di samping itu, minyak rongseri kelapa sawit (PKO) juga boleh dijadikan bahan biologi bagi menghasilkan bioplastik. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa bioplastik ini juga merupakan teknologi masa hadapan yang mesra alam dan berkemungkinan besar akan digunakan di Sukan Olimpik 2020 di Jepun nanti.

Produk lain yang boleh dihasilkan dari sawit untuk dikormersialkan adalah kertas pulpa yang diperbuat daripada tandan kosong sawit seperti yang dilakukan oleh negara China. Kerajaan perlu menjalinkan hubungan kerjasama dengan negara lain seperti China, Indonesia dan India bagi mempelbagaikan produk sawit bagi memperluaskan pasaran baharu. Hal ini penting kerana jika produk sawit dikomersialkan kegiatan eksport akan berlaku dengan rancak sekaligus ia akan memberi kesan positif kepada pendapatan negara. Sementara itu, ia juga sebagai satu inisiatif terbaik untuk industri sawit bersaing dengan industri-industri yang lain.

Kerajaan disaran untuk mempelbagaikan produk sawit untuk dikomersialkan

Selain itu, sekiranya kita berjaya mempelbagaikan produk sawit secara meluas ia juga membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai. Setiap proses yang diperlukan akan menggunakan tenaga kerja yang ramai bagi menghasilkan produk yang berkualiti. Oleh itu, kerajaan perlu tampil dengan perancangan yang lebih teliti untuk dijadikan panduan kepada rakyat.

Kita perlu menunjukkan bahawa produk sawit dari Malaysia adalah jauh lebih berkualiti dari negara-negara lain yang turut menghasilkan produk sawit. Selain itu, masyarakat kita juga perlu tahu bahawa sawit sebenarnya mampu membuat produk-produk yang mampu dikomersialkan sehingga ke pasaran antarabangsa. Adalah penting untuk kita terus berusaha dalam mempelbagaikan produk sawit untuk dikomersialkan memandangkan industri sawit kerana ia adalah salah satu tanaman yang banyak membantu dalam memberikan pulangan.

Justeru itu, satu kerjasama dengan pihak Malaysia Palm Oil Board (MPOB) adalah sangat penting supaya sebarang proses kajian dan penyelidikan yang akan dilakukan akan berjalan lancar sekaligus produk-produk sawit yang berkualiti dapat dihasilkan. Kerajaan perlu tampil dengan inisiatif yang lebih proaktif bagi memastikan industri sawit negara terus stabil dan berkembang dengan pesat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here