Manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan sama ada kecil atau besar. Oleh itu, setiap insan perlu diberikan peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan diri termasuklah memberi peluang kedua kepada golongan penagih.

Peluang kedua merupakan harapan baharu untuk golongan ini yang pernah membuat keputusan yang salah dalam kehidupan. Malah, menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, penyalahgunaan dadah lebih menjerumus kepada penyakit dan bukannya digolongkan dalam kategori jenayah.

Masyarakat perlu memberi peluang kedua kepada golongan penagih ini agar dapat membantu mereka menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Tanpa sokongan dan penolakan daripada ahli keluarga serta masyarakat, hanya akan mengembalikan mereka kepada kancah dadah.

Penagih yang tidak diberikan peluang kedua mudah terjerumus semula ke kancah dadah

Sekiranya terus diabaikan tanpa sokongan konsisten dari segi emosi dan jasmani, peluang serta ruang untuk kembali ke kancah dadah cukup tinggi. Apabila tiada sokongan, mereka rasa diabaikan sehingga membuatkan mereka malu dengan masyarakat dan mula hidup dalam komuniti sendiri.

Walaupun sesetengah masyarakat tidak menerima golongan ini dan tidak percaya dengan peluang kedua, namun ada juga pihak yang sangat terbuka bahkan sanggup memberi peluang pekerjaan kepada golongan ini. Tindakan mampu membantu golongan penagih untuk kembali mencari rezeki yang halal sekaligus dapat membantu mereka untuk memulakan kehidupan yang baru.

Namun, kelayakan untuk mendapatkan peluang kedua juga bergantung kepada bekas penagih dadah itu sendiri. Jika mereka mempunyai inisiatif untuk membuktikan bahawa mereka layak untuk diberi peluang kedua berdasarkan kepada perubahan dan kesedaran terhadap kesilapan masa lalu. Lama-kelamaan masyarakat akan mudah untuk menerima golongan ini.

Penagih dadah juga berhak mendapat peluang kedua daripada masyarakat

Sebagai masyarakat yang mempunyai tanggungjawab sosial, jika kita tidak mampu membantu dari segi wang ringgit, mungkin sekadar perlu memaafkan, membimbing, memberi motivasi atau berkongsi informasi agar dapat membantu mereka untuk menjalani kehidupan seperti biasa sudah memadai. Tidak perlu menjadi masyarakat yang terlalu menghukum kerana setiap orang melakukan kesilapan. Apa yang lebih penting sokongan moral perlu diberikan kepada golongan ini agar mereka dapat belajar dari kesilapan dan mendidik mereka sehingga bebas sepenuhnya daripada najis dadah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here