Permasalahan tentang pemandu e-hailing ini sering menjadi perhatian ramai pihak terutamanya kepada pemandu teksi awam. Bagi menyelesaikan permasalahan ini, pihak kerajaan kini telah mengarahkan pemandu e-hailing untuk mengambil lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) serta menghantar kenderaan mereka yang melebihi 3 tahun bagi  pemeriksaan dengan Puspakom atas alasan keselamatan bermula pada Julai 2019.

Malah, syarikat e-hailing utama di Malaysia, Grab telah menyatakan dalam laman sesawang mereka mengenai peraturan baru yang perlu dipatuhi tersebut. Pemandu e-hailing juga termasuklah menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mendapatkan lesen PSV dan perlu mendapatkan tambahan insurans e-hailing di atas polisi insurans motor persendirian yang sedia ada.

Syarat yang dikenakan itu kini telah menjadi dilema kepada pemandu e-hailing kerana mereka perlu menjalani semula latihan dan peperiksaan untuk mendapatkan lesen PSV di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Gesaan dari pihak Puspakom untuk pemandu e-hailing melakukan pemeriksaan kenderaan juga telah menyebabkan pemandu e-hailing ‘pening kepala’ untuk mengikuti syarat yang dikenakan tersebut.

Pemandu e-hailing kini perlu mengambil lesen PSV dan membuat pemeriksaan kenderaan di Puspakom

Di samping itu, kerajaan akan tetap dengan peraturan yang dikenakan pemandu e-hailing tersebut dan memberi masa hingga Julai 2019 untuk berbuat demikian. Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke menegaskan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terdapat pemandu e-hailing yang tidak memiliki lesen PSV selepas tarikh yang ditetapkan.

Syarat-syarat yang dikenakan oleh Kementerian Pengangkutan ini boleh menyebabkan penurunan jumlah pemandu e-hailing sebanyak 20 hingga 50 peratus. Beberapa syarikat e-hailing berpandangan, mereka menjangkakan pemandu sambilan akan berhenti kerana proses permohonan lesen Perkhidmatan Awam (PSV) adalah rumit dan mahal. Pemandu perlu menjalani sesi latihan selama enam jam di pusat-pusat memandu dan membayar sehingga RM200 untuk lesen PSV dan kos untuk menyelesaikan tuntutan itu dianggarkan sebanyak RM800.

Selain itu, pemandu e-hailing juga enggan menghantar kenderaan mereka ke Puspakom kerana langkah itu tidak begitu mudah dan pemeriksaan mungkin memakan masa beberapa hari. Bagi sesetengah pemandu sepenuh masa, prosedur sedemikian mungkin mengganggu rutin harian mereka sebagai pemandu dan jika terdapat sesuatu yang tidak kena, mereka perlu mengeluarkan duit mereka sendiri.

Syarat-syarat baru oleh Kementerian Pengangkutan boleh menyebabkan pengurangan pemandu e-hailing

Oleh kerana itu, pihak kerajaan perlu melihat permasalahan ini dengan lebih baik supaya dapat membantu pemandu e-hailing dalam negara ini. Pemeriksaan Puspakom untuk kereta melebihi 3 tahun dilihat tidak sesuai kerana rata-rata pemandu menggunakan kenderaan mereka sendiri dan tidak harus dibuat mandatori jika kenderaan itu masih dalam keadaan baik. Itulah yang menjadi beban kerana mereka perlu mengeluarkan wang sendiri dan sesetengah mereka hanya menjadi pemandu separuh masa sahaja.

Justeru, dilema pemandu e-hailing ini perlu dibantu oleh pihak terlibat kerana jika syarat-syarat tersebut terlalu berat, mereka terpaksa berhenti dari menjadi pemandu e-hailing. Ada di antara mereka menjadi pemandu untuk menambah pendapatan dan ada yang sanggup berhenti kerja untuk menjadi pemandu sepenuh masa. Walau pun lesen PSV itu penting, tetapi permasalahan lain juga perlu diambil perhatian bagi menjaga nasib mereka sebagai pemandu e-hailing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here