Kes-kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk bukanlah satu isu baru di dalam negara ini. Malahan kini ia sudah menjadi semakin serius dan memerlukan satu jalan penyelesaian yang baik bagi menangani masalah ini.

Seperti apa yang berlaku baru-baru ini, satu kes kemalangan yang telah melibatkan seorang pemandu di dalam keadaan mabuk yang telah melanggar kenderaan milik seorang pekerja CIMB bank. Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh kerana pelanggaran yang sangat kuat terhadap kereta mangsa.

Mangsa kemalangan yang disebabkan pemandu mabuk

Oleh itu, jelaslah di sini mengapa kita perlu memperketatkan lagi undang-undang di dalam negara ini supaya pemandu yang memandu di dalam keadaan mabuk perlu dihukum dengan hukuman yang setimpal. Gaya pemanduan mereka yang dalam keadaan separuh sedar akan membahayakan ramai pengguna jalan raya di luar sana serta akan menambahkan lagi risiko kemalangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya akan melihat keberkesanan undang-undang sedia ada untuk menyelesaikan isu terbabit sama ada hukuman sedia ada setimpal atau sebaliknya. Tambahnya lagi kementerian akan mencari langkah terbaik supaya kejadian menimpa empat lelaki yang maut dirempuh pemandu mabuk di Tawau, Sabah baru-baru ini tidak berulang.

Memandu dalam keadaan mabuk akan membahayakan nyawa orang lain

Sebelum ini, undang-undang memperuntukkan individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengenakan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan. Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Kemampuan seseorang pemandu untuk mengawal kenderaan akan menjadi semakin berkurangan apabila mereka di dalam keadaan mabuk oleh kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Justeru itu, demi menjaga keselamatan para pengguna jalan raya, kita menyambut baik inisiatif yang ingin dilakukan oleh pihak kerajaan khususnya dari Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji semula undang-undang atau peraturan yang melibatkan kesalahan pemandu mabuk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here