Kes pembalakan hutan sering menjadi ancaman kepada pihak Orang Asli dan ianya boleh dilihat dengan kes-kes bantahan serta protes dari suku kaum tersebut di beberapa tempat dalam negara ini. Baru-baru ini masyarakat Orang Asli di Gerik, Perak telah membuat bantahan setelah mereka mendakwa terdapat pihak yang menceroboh tanah adat mereka untuk aktiviti pembalakan sejak 18 Januari 2019 lalu.

Malah, mereka juga mendakwa diugut oleh pihak syarikat pembalakan dan kakitangan Jabatan Perhutanan Perak susulan daripada sekatan penduduk Orang Asli Kampung Tasik Cunex yang menutup laluan utama lori balak. Kes ini bukanlah perkara baru kerana pada tahun 2018, masyarakat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan juga melakukan tindakan sama dengan membina sekatan di tiga lokasi kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan sebagai bantahan terhadap aktiviti pembalakan, projek perladangan dan penanaman durian ‘Musang King’ di daerah itu.

Kebanyakan penduduk Orang Asli membuat bantahan terhadap pembalakan ini kerana ia boleh memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka dan boleh menjejaskan ekosistem kawasan tersebut. Aktiviti pembalakan oleh beberapa syarikat pembalakan secara haram juga dibuat di kawasan tanah adat perkampungan Orang Asli dan aktiviti ini dibuat secara tidak terkawal.

Penduduk Orang Asli membantah pembalakan di kawasan mereka

Selain daripada itu, aktiviti pembalakan telah menjejaskan kehidupan seharian Orang Asli kerana boleh mencemarkan air sungai seperti yang terjadi di Kampung Pian dan Kampung Kuala Terbol. Pada tahun 2016, 800 penduduk Orang Asli dari kedua-dua kampung tersebut mengadu air yang digunakan dalam sistem graviti air bukit menjadi keruh dan tidak selamat diminum ekoran daripada aktiviti pembalakan haram di Hutan Simpan Kuala Krau.

Di Perak pula, pembalakan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab telah memberi ancaman kepada empangan Temenggor hingga menyebabkan berlaku mendapan lumpur dan pasir di tasik tadahan empangan. Pembentukan kelodak di dalam sungai boleh menjejaskan kualiti air dalam empangan dan ianya boleh dilihat apabila tasik empangan semakin kering kesan daripada musim kemarau.

Aktiviti pembalakan telah memberi ancaman kepada empangan Temenggor hingga mengejutkan MB Perak

Oleh kerana itu, pihak berkuasa seperti Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhutanan perlu melaksanakan peranan mereka untuk menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli serta menjaga kawasan perhutanan di negara ini. Kerajaan Negeri perlu mewartakan semua kawasan hutan sebagai Taman Negara dan hutan simpan bagi mengelakkan pencerobohan daripada syarikat pembalakan. Kerajaan juga perlu menguatkuasakan lagi undang-undang tentang pencerobohan hutan supaya pihak tidak bertanggungjawab menerima hukuman berat akibat daripada aktiviti pembalakan tersebut.

Masyarakat Orang Asli mempunyai hak bukan sahaja ke atas tanah adat tetapi juga segala hasil hutan dan air seperti yang dinyatakan dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, masyarakat Orang Asli perlu dijaga oleh kerajaan Pakatan Harapan supaya kehidupan mereka tidak terjejas dan perlu menitikberatkan kebajikan mereka supaya dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here