Orang Asli merupakan komuniti yang mudah terancam oleh arus pembangunan masa kini. Pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pihak swasta seperti perwartaan Taman Negara dan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) menggambarkan penggunaan sumber alam semula jadi secara maksimum di samping mampu menjana pendapatan negara dan meningkatkan taraf hidup komuniti setempat dengan pengwujudan peluang pekerjaan.

Orang Asli sering dipinggirkan soal kebajikan mereka

Namun, pada hari ini kita dapat saksikan kaum orang asli seringkali dipinggirkan daripada pembangunan negara serta kebajikan mereka. Secara realitinya gaya serta taraf hidup mereka begitu berbeza jika dibandingkan dengan rakyat yang lain.

Masalah yang sering dihadapi oleh kaum Orang Asli adalah mereka tidak mendapat bekalan zat dan imunisasi yang mencukupi. Perkara ini perlu diberikan perhatian supaya peristiwa yang berlaku di Teluk Batek sebelum ini tidak akan berulang lagi. Hal ini kerana, kejadian tersebut telah mengorbankan 14 nyawa dan hasil daripada siasatan yang dilakukan kematian tersebut berpunca daripada kekurangan zat di dalam badan mereka.

Selain itu, di dalam sektor pendidikan mereka juga mempunyai kekurangan dari segi fasiliti serta tenaga pengajar. Pendidikan merupakan kriteria penting yang harus dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah generasi muda masyarakat Orang Asli pada hari ini. Kegagalan untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan boleh menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik apabila kanak-kanak Orang Asli meningkat dewasa.

Kurang zat serta imunisasi akan mengakibatkan masalah kematian bagi mereka

Untuk menangani segala permasalahan ini, pihak-pihak yang berkenaan perlu memberikan perhatian kepada kaum minoriti ini supaya mereka tidak lagi rasa diri mereka disisihkan seperti sebelum ini. Pihak kerajaan di setiap negeri juga perlu memainkan peranan untuk mendengar segala keluhan kesusahan dan keperitan hidup mereka supaya segala bantuan yang mereka perlukan dapat disalurkan dengan cara yang lebih baik.

Justeru itu, kita juga berharap agar pihak kerajaan akan menumpukan kepada pembangunan asas melibatkan masyarakat Orang Asli di negara ini melalui Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini. Dengan usaha itu sudah semestinya ia akan lebih banyak membantu Masyarakat Orang Asli di dalam negara ini untuk memperbaiki taraf kehidupan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here