Sejak kebelakangan ini, pembangunan sukan di Malaysia semakin berkembang maju. Kerajaan sentiasa berusaha untuk meletakkan sukan sebagai industri yang berperanan dalam memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi bagi menjana pendapatan dan memberi pulangan kepada pelaburan dalam bidang ini. Selain itu, perancangan pertumbuhan dalam bidang sukan secara komprehensif dan menyeluruh termasuk aktiviti mengkomersialkan produk atau perkhidmatan, menjadikan bidang sukan sebagai satu kerjaya serta mewujudkan peluang pekerjaan.

Syed Saddiq umum peruntukan RM60 juta pembangunan sukan

Baru-baru ini, Kementerian Belia dan Sukan telah menyalurkan peruntukan RM60 juta untuk pembangunan infrastruktur sukan dan belia di Terengganu. Peruntukan tersebut termasuk memulakan pembinaan tiga projek yang dicadangkan oleh kerajaan sebelum ini iaitu velodrom di Dungun, sebuah Kompleks Sukan Mini di Jabi, Besut dan Telemong di Hulu Terengganu. Dalam perkara ini,kementerian juga bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memberikan tumpuan untuk pembangunan sukan air di sekitar Pulau Duyong dan kawasan pantai di Terengganu. Pembangunan infra sukan ini secara tidak langsung akan merangsang sektor pelancongan di negeri berkenaan.

Terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian antaranya meningkatkan pembinaan infrastruktur sukan khususnya kepada masyarakat. Sebagai contoh, pembinaan infrastruktur yang lebih moden seperti stadium bola sepak yang besar, kolam renang bersaiz olimpik, gym dan trek perlu diwujudkan bagi memudahkan mereka menggunakan kemudahan berkenaan dengan lebih berkesan.

Alat memanah perlu ditambah baik dari masa ke semasa

Sehubungan dengan itu, segala peralatan sukan perlu ditambah baik memandangkan kebanyakan peralatan sukan sudah lama, tidak diselenggara dan lebih menyedihkan di kawasan luar bandar langsung tidak mempunyai kemudahan sukan. Sebagai contoh peralatan sukan memanah yang sudah lama tidak digunakan akan menjadi rosak sekiranya dibiarkan serta terdedah kepada hujan dan panas. Oleh itu peralatan ini perlulah digantikan dengan yang baru bagi memudahkan mereka menggunakan peralatan tersebut.

Justeru, langkah proaktif pembangunan sukan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebenarnya dapat meningkatkan imej negara. Hal ini kerana apabila sesebuah negara berjaya menganjurkan sukan yang bertaraf dunia pastinya akan mengharumkan nama negara. Sebagai contoh, pada tahun 1998 Malaysia telah berjaya menganjurkan Sukan Komanwel 1998. Ini secara tidak langsung membuka mata masyarakat antarabangsa tentang keupayaan Malaysia menganjurkan sukan yang bertaraf dunia.

Terbukti, kesan positif yang paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan pelancong asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan mengalami kemajuan. Hal ini sekali gus mampu menjana ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai contoh, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah berjaya menarik banyak pelancong asing.

Oleh itu, kerjasama semua pihak amat penting agar dapat merangsang lebih banyak penyertaan masyarakat dalam industri sukan bagi membentuk satu imej sukan berskala nasional yang akan menjadikan Malaysia sebagai satu negara peserta bukannya penonton. Malah sikap profesionalisme terus menjadi amalan dalam setiap penganjuran sukan berkemungkinan dapat merealisasikan hasrat Malaysia untuk menikmati temasya yang lebih besar seperti kejohanan bola sepak Piala Dunia dan Sukan Olimpik pada masa akan datang.

 

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here