Kerajaan kini mempertimbangkan langkah terbaik untuk melaksanakan pemberian subsidi petrol bersasar bagi golongan berpendapatan rendah B40 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 lalu. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam fasa terakhir melaksanakan subsidi petrol secara bersasar sebelum ianya dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurut menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution, terdapat dua kaedah yang akan dilaksanakan iaitu penggunaan kad petrol untuk membolehkan kerajaan mengkaji corak perbelanjaan pengguna dan pemberian subsidi petrol bersasar secara tunai yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun penerima mengikut daripada data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Menteri KPDNHEP, Saifuddin Nasution berkata kerajaan akan kenalkan mekanisme subsidi petrolĀ 

Mekanisme yang dicadangkan kerajaan untuk melakukan pembayaran terus kepada penerima akaun ini dilihat agak merumitkan kerana kerajaan akan mempunyai data yang sangat tinggi untuk mengagihkan wang subsidi petrol kepada penerima B40. Ini bermakna agihan wang subsidi petrol bersasar itu akan mengambil masa yang lama. Malah, kerajaan juga tidak mengumumkan lagi pengagihan wang tersebut akan dilakukan dalam mingguan, bulanan atau tahunan ke dalam akaun.

Walau bagaimanapun, langkah kerajaan untuk menggunakan data BSH untuk mengagihkan subsidi petrol ini adalah satu langkah yang tepat untuk memastikan ianya dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran. Tetapi, kerajaan perlu memastikan tidak ada ketirisan dalam pengagihan wang tersebut kerana jika mengikut kepada penjelasan menteri, rakyat B40 perlu membayar harga asal petrol RON95 tersebut dahulu dan kemudiannya barulah wang subsidi itu akan dimasukkan ke dalam akaun penerima.

Akan tetapi, rakyat melihat langkah kerajaan untuk membayar wang subsidi petrol ini sebagai satu tindakan yang tidak praktikal. Ini kerana rakyat melihat lebih baik kerajaan menambah bantuan BSH daripada memberi subsidi ini kerana ianya lebih membantu rakyat. Rakyat juga merasakan konsep yang digunakan oleh kerajaan ini adalah sama seperti kerajaan terdahulu yang menarik kembali subsidi petrol dan menggantikannya dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Impak kepada harga barang juga tetap naik kerana pengilang dan pembuat akan guna petrol yang mahal.

Golongan B40 akan mendapat wang subsidi petrol yang akan dimasukkan ke dalam akaun mereka

Justeru, syarikat di bawah Kementerian Kewangan iaitu GHL Systems Bhd yang memenangi tender bernilai RM25.03 juta untuk mereka dan membangunkan aplikasi perisian serta perkakasan membabitkan subsidi petrol ini juga perlu memainkan peranan dengan baik agar tidak ada manipulasi dalam pengagihan subsidi petrol ini.

Malah, mekanisme yang akan kerajaan laksanakan ini perlu diterangkan dengan lebih lanjut lagi kerana pembayaran tunai ini melibatkan kos yang tinggi dan bagaimanakah agihan wang ke dalam akaun dapat dilaksanakan dengan baik supaya objektif kerajaan untuk membantu meringankan beban golongan B40 tercapai pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here