Insiden sidang Dewan Rakyat yang terpaksa dihentikan seketika selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith rebah mungkin satu ‘signal’ yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan indvidu di sekeliling mereka.

Sebenarnya insiden ini bukan lagi baharu. Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin pengsan semasa majlis perhimpunan bulanan JPM. Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman juga pernah rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020. Itu belum berbicara mengenai beberapa orang ADUN yang telah meninggal dunia akibat penyakit barah.

Eddin Syazlee rebah pada persidangan Dewan Rakyat

Jika rakyat biasa yang mendapat tawaran temuduga pekerjaan diminta untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan untuk meneruskan sesi temuduga, mungkin perkara yang sama perlu dilakukan oleh wakil rakyat sebelum nama mereka dicalonkan bagi setiap pilihanraya.

Pada 2012, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pernah mengeluarkan kenyataan bahawa faktor kesihatan tidak menjadi kriteria penting khusus dalam pemilihan calon Barisan Nasional semasa PRU-13.

Tidak relevan sebenarnya jika faktor kesihatan bukan kriteria penting dalam pemilihan wakil rakyat. Setiap daripada individu ini bukan sahaja mewakili rakyat, bahkan mewakili negara. Maka tahap kesihatan mereka perlu berada di tahap yang terbaik seiring dengan tekanan kerja yang ‘dipilih’ oleh setiap wakil rakyat ini.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan akan meneliti cadangan pemeriksaan kesihatan untuk semua wakil rakyat perlu disambut secara positif. Namun pemeriksaan ini bukan sahaja termaktub kepada wakil rakyat malahan calon-calon wakil rakyat yang bakal bertanding pada pilihanraya kecil atau pilihanraya umum juga wajar mendapat pemeriksaan yang sama.

Wakil Rakyat di negara ini wajar mendapatkan pemeriksaan kesihatan

Faktor umur pasti mempengaruhi tahap kesihatan setiap wakil rakyat ini. Namun untuk menggalas tugas sebagai seorang ADUN, pasti segala bebanan permasalahan rakyat ditanggung sepenuhnya di bahu mereka. Sudah tentu sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada tahap kesihatan mereka.

Sukar untuk menafikan bahawa tahap kesihatan yang rendah pasti akan mempengaruhi kualiti kerja. Tahap kesihatan yang terbaik akan membantu setiap wakil rakyat untuk memberikan komitmen sepenuhnya kepada kawasan yang diwakili mereka. Maka tumpuan kerja boleh diberikan sepenuhnya tanpa diganggu oleh jadual rawatan di hospital.

Jika ada pihak yang menyuarakan hasrat supaya mengambil wakil rakyat di kalangan warga muda, pasti faktor pengalaman pula dijadikan sebagai ukuran. Namun perlu diingat, golongan muda pada masa kini kebanyakannya tidak menjalani kehidupan yang sihat. Maka faktor tua atau muda tidak mampu menjamin tahap kesihatan seseorang. Apa yang pasti, jalani kehidupan secara sihat supaya tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here