Daripada surah An-Nisa ayat 135: “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu seorang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya”.

Ayat di atas jelas menggambarkan keperibadian yang perlu ada terhadap seorang pemimpin apabila mereka dipertanggungjawabkan untuk memimpin masyarakat di kawasan mereka. Situasi yang sama juga harus dialami oleh para pemimpin utama negara apabila mereka harus mempunyai kriteria yang berkaliber dalam usaha memimpin negara ke satu tahap yang gemilang.

Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri pemimpin terulung di dunia

Sebenarnya, jika membicarakan keterampilan seorang pemimpin berkaliber, kita mempunyai seribu satu ciri yang boleh dikaitkan. Di antara ciri-ciri pemimpin yang perlu ada dalam mengemudi ‘bahtera’ Malaysia adalah seorang yang adil, tegas, berdisiplin, berdedikasi, bijaksana, berakhlak mulia dan mempunyai adab. Mengapa seorang pemimpin perlu ada ciri-ciri seperti itu? Kerana melalui keterampilan seperti inilah yang akan menentukan masa depan sesebuah negara.

Menjadi seorang pemimpin berkaliber merupakan satu keperluan yang akan memberi kepentingan kepada rakyat dan negara. Alasannya? Kerana sesebuah identiti negara terbentuk melalui keterampilan pemimpinnya. Bayangkan jika akhlak dan adab seorang pemimpin di tahap mentaliti terendah? Adakah dunia akan menghormati dia dan negaranya? Sudah tentu tidak. Begitu juga dengan Malaysia, sebuah negara yang masih lagi meniti pembangunan, para pemimpinnya harus mempunyai ciri-ciri tersebut agar dihormati serta menjadi contoh kepada negara dunia yang lain.

Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber demi meningkatkan pembangunan dan kemakmuran bersama

Selain itu, ia juga memberikan kelebihan kepada Malaysia dari segi ekonomi dan pembangunan apabila ramai pelabur asing merasa senang dan terbuka untuk menjalinkan kerjasama. Bukan itu sahaja, melalui keterampilan pemimpin yang berkaliber juga dapat memberikan kelebihan dalam pembentukan akhlak dan sahsiah rakyat di sekeliling khususnya golongan belia. Cuba lihat situasi semasa hari ini, segelintir rakyat tidak kira pangkat dan usia masih lagi berada di dalam pemikiran kelas ketiga. Penyebabnya? “Kalau pemimpin boleh buat, kenapa aku tak boleh?!”. Alasan yang mudah tetapi cukup memberi kesan yang mendalam.

Kepimpinan melalui tauladan. Itu ungkapan yang selayaknya diberikan terhadap situasi semasa politik hari ini, apatah lagi ia terkait dengan isu peralihan kuasa. Rakyat harus diingatkan bahawa dalam memilih seorang pemimpin, dia seharusnya berlaku adil dan tegas terhadap semua masyarakat, mempunyai akhlak dan aqidah yang mantap dan bukannya tertakluk kepada sebelah pihak sahaja. Jaganlah memilih pemimpin dari kalangan yang fasiq kerana kelak keburukan dan bencananya akan berbalik kepada negara itu sendiri yang akhirnya menyebabkan kemusnahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here