Menjadi seorang pemimpin bukan sahaja memerlukan kejujuran dan intergriti, tetapi apa yang paling penting adalah tidak munafik. Ya, zaman ini ramai sekali pemimpin yang bersifat talam dua muka, di hadapan rakyat berjanji lain, di belakang perbuatannya lain. Tidak terkecuali para pemimpin Malaysia, yang Agama Rasmi Persekutuannya adalah Islam. Semakin lama semakin ramai pemimpin munafik yang timbul hanya kerana ketamakan terhadap kuasa dan duit.

Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tanda munafik ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji ia mengingkari dan jika diberi amanah dia khianat.” (HR Bukhari No: 32)

Malah, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Saidina Umar RA berbunyi, “Sesuatu yang paling aku khawatirkan dari kalian adalah Munafik Alim (munafik yang berpengetahuan).” Lalu ada yang bertanya, “Bagaimana mungkin, seorang munafik memiliki sifat ‘alim.?” Umar menjawab, “Ia berbicara dengan penuh hikmah namun melakukan kezaliman atau kemungkaran.”

Sepertinya kita pernah melalui situasi sebegini kan? Apabila ada yang menyatakan penyatuan ummah ini dilakukan demi kemashalatan umat Islam, agama Islam. Himpunan Melayu ini dibuat demi menjamin hak keistimewaan orang Melayu.

Akan tetapi, apa yang berlaku? Setelah penyatuan dilakukan, himpunan dilaksanakan, semuanya kembali berpakat berebut kuasa! Yang dulu kononnya bergabung demi maruah dan agama kini bertindak liar merebut pangkat dan kekuasaan.

Secara logiknya, golongan ini tidak layak untuk dipilih sebagai pemimpin. Hal ini kerana pemimpin menurut tuntutan Islam adalah seseorang mentaati perintah Allah dan RasulNya dan yang mempunyai sifat-sifat seperti berikut:

1) Berupaya untuk menjaga agama dan menegakkan syariat Allah.

2) Seseorang yang memiliki sifat taqwa.

3) Beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah

pimpinannya.

4) Bertanggungjawab dan tidak sombong.

5) Berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya.

6) Menunaikan janji-janjinya.

Sebagai rakyat yang mempunyai tanggungjawab dalam memilih kepemimpinan negara, adalah wajib bagi kita untuk meneliti dari setiap segi tentang individu yang bakal kita pilih untuk menerajui tampuk pentadbiran Malaysia.

Oleh kerana itu, kita dianjurkan untuk bersikap hati-hati tehadap orang munafik. Kita harus memeriksa kebenaran berita yang mereka sampaikan. Jika tersalah pilih ke atas individu yang munafik dan cuma bermain wayang semata, kelak pasti kita akan merana. Allah SWT berfirman:

“Ingatlah, ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata: “Mereka itu (orang-orang mukmin) ditipu oleh agamanya”. (Allah berfirman): “Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS Al-Anfal: 49).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here