May be an image of 1 person, sitting, standing and text that says 'PEMIMPIN PERLU LEBIH PROFESIONAL MANAKALA RAKYAT HARUS MEMBERI ATITUD YANG TERBAIK UNTUK MENGATASI MASALAH PANDEMIK COVID-19'

Pertamanya, artikel ini bukanlah mahu menghentam Kerajaan secara terus. Tetapi lebih kepada menasihati agar semua penambahbaikan dapat dilakukan segera pada masa akan datang. Semua pihak tahu bukan apa yang sudah jadi semalam? Kegagalan sebilangan besar rakyat Malaysia untuk mendaftarkan diri dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan semalam dek kerana kesesakan yang berlaku dalam sistem ‘server’ laman sesawang berkenaan. Maka, berbakul-bakul makian yang diterima oleh pihak Kerajaan khususnya Kementerian Tenaga Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu. (HR Bukhari dan Muslim)

Wahai para pemimpin, kami tahu sistem ini buatan manusia dan manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Di waktu genting begini, kami hanya bersandarkan anda semua semata-mata untuk memulihkan keadaan. Berilah kepada golongan yang lebih utama untuk mendaftar program ini seperti golongan pekerja kerana semua tahu Kerajaan tidak boleh melaksanakan ‘Total Lockdown’ kerana akan menyebabkan negara berdepan dengan kerugian daripada segi ekonomi. Berilah perkhidmatan yang terbaik kepada kami setelah kami melaksanakan tanggungjawab kami dengan memilih kamu sebagai pemimpin kami.

Buatlah kajian atau analisa tentang statistik rakyat yang bekerja di antara usia 18 hingga 59 tahun sebelum membuka tempahan vaksinasi dan buatlah mengikut kategori negeri agar semuanya mendapat kesamarataan. Bagi rakyat pula, jika anda tergolong dalam golongan ‘tidak sempat’ untuk mendaftar atas sebab masalah teknikal, jangan pula anda luahkan segala amarah anda dengan kata-kata yang menghina pemimpin. Menghina atau mencela dalam ajaran agama Islam adalah perbuatan yang tercela. Bahkan Rasulullah sendiri telah memberi amaran dalam sabda Baginda:

“Barangsiapa menghina pemimpin Allah di bumi, Allah akan menghinakannya.” (HR. At-Tirmidzi)

Seharusnya dalam hal ini, pemimpin mestilah melaksanakan tugas dengan lebih profesional dan rakyat harus memberikan atitud yang terbaik untuk mengatasi pelbagai masalah yang timbul dalam menangani pandemik covid-19 ini. Di pihak Kerajaan, mereka hendaklah memperbaiki kelemahan yang ada di dalam sistem tersebut supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang terbaik daripada anda. Jangan hanya menjanjikan bulan dan bintang, bercerita tentang tatakerja pasukan anda yang sentiasa terbaik dan terhebat dengan dana yang sekian-sekian juta ringgit tetapi hasilnya amat mengecewakan rakyat.

Bagi para rakyat pula, buatlah kawalan kendiri sementara menunggu bekalan vaksin yang baru akan sampai. Tidak dapat mendaftar vaksin, bukan bererti hidup anda berakhir. Ibarat kata pepatah “jangan marahkan nyamuk, kelambu hendak dibakar”. Daripada anda semua menghamburkan sumpah seranah anda kepada pemimpin yang sudah tentu memberikan dosa, adalah lebih baik anda berikhtiar demi kelangsungan hidup anda dan patuhi SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here