Bercerita mengenai kewajipan rakyat untuk patuh kepada arahan pemimpin, rasanya itu perkara biasa. Tapi apa yang nak ditegur pada hari ini, bagaimana pemimpin itu wajib menjadi tauladan kepada rakyat supaya mereka disanjungi, dihormati dan arahan mereka dipatuhi. Jika dilihat kepada ‘posting2’ di laman sosial, rakyat sering mempersoalkan isu ‘double standard’ sesetengah pemimpin dalam mematuhi arahan PKP. Tidak kiralah sama ada kerajaan ataupun pembangkang, dua2 pihak dilihat sama saja.

Wahai para pemimpin khususnya yang beragama Islam, contohilah akhlak kepimpinan Rasulullah SAW yang sentiasa adil, tegas dan saksama. Baginda tidak sesekali melakukan pemerintahan berat sebelah baik untuk keluarga, sahabat juga para umatnya. Semuanya dilayan sama adil dan sekiranya ada kesalahan, Baginda akan menegur dan menjatuhkan hukuman jika didapati bersalah. Firman Allah SWT:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah SWT ketika susah dan senang.” (QS al – Ahzab: 21)

Sudah menjadi kewajipan para pemimpin untuk menjadi tauladan kepada rakyat, sebagai contoh isu pergerakan rentas negeri atau negara atas alasan kerja. Apabila kerajaan sudah menetapkan sekembalinya daripada negeri atau negara yang dilawati wajib menjalani tempoh kuarantin selama 10 hingga 12 hari, maka sebagai rakyat kita wajib menuruti perintah tersebut walaupun kita ini seorang pemimpin. Selalu jadikan diri itu tunduk ke bumi dan patuh dengan arahan kerajaan. Sabda Rasulullah SAW:

 “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Buat para rakyat pula, kita haruslah sentiasa mematuhi arahan pemimpin dan jangan sesekali melanggari undang-undang yang ditetapkan. Jangan kerana kebenaran yang diberikan oleh kerajaan dalam kebebasan bersuara, maka kita dengan sewenang-wenangnya mengatakan atau melakukan sesuatu di luar batasan. Sudah dinyatakan di dalam hadis dan al-Quran bahawa kita wajib mematuhi arahan pemerintah atau pemimpin selagi ia tidak menjerumus ke arah kemaksiatan. Sabda Rasulullah SAW:

“(Wajib) Ke atas semua muslim untuk mendengar dan mentaati pemerintah samada dalam perkara yang dia suka atau tidak, melainkan sekiranya pemimpin itu memerintahkan kepada perkara maksiat. Sekiranya dia memerintahkan perkara maksiat, maka tidak perlu didengari dan ditaati.” (HR Muslim: 1839)

Apa yang dilakukan oleh pentadbiran negara pada masa ini adalah demi untuk keselamatan semua. Sedangkan PKP 2.0, kes harian masih mencatatkan angka dua ribu lebih, inikan pula tanpa pelaksanaan PKP. Ingat, kita masih belum menang melawan covid. Jadi, patuhilah arahan pentadbiran negara demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa taat kepada Pemimpin, maka dia telah taat kepada-ku dan sesiapa yang menderhakai pemimpin maka dia telah derhaka kepada-ku”. (HR Bukhari No. 2957)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here