Daripada ‘Adi bin Amirah al – Kindi RA dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang kami lantik sebagai petugas (pemimpin) dan kemudian dia menyembunyikan dari kami (walaupun) sebatang jarum atau perkara yang lebih besar dari itu, maka dia telah mengkhianati (kaum muslimin) dan dia akan dibangkit di hari kiamat dengan pengkhianatan itu.” (HR Muslim: 1833).

Memiliki pemimpin yang mampu mentadbir negara merupakan satu kelebihan buat sesebuah negara. Akan tetapi, memiliki pemimpin yang mampu mentadbir negara serta prihatin terhadap kebajikan dan hak rakyatnya merupakan satu perkara yang bonus. Tidak banyak negara mempunyai kelebihan seperti itu, tetapi sekiranya mempunyai maka ia adalah satu rahmat.

Islam meletakkan beberapa syarat bagi melayakkan seseorang diangkat sebagai pemimpin. Apatah lagi sekiranya mahu diangkat menjadi pemimpin peringkat negeri atau negara. Masyarakat Islam seharusnya menjadikan pra-syarat untuk mengangkat seseorang pemimpin berdasarkan kriteria yang digariskan agama. Perkara pertama yang seharusnya diteliti ialah kejujuran dan sifat amanah. Urusan mentadbir dan mengurus sesebuah negeri atau negara sangat memerlukan pemimpin yang beramanah.

Bagi pemimpin yang dipilih pula, mereka seharusnya menganggap peluang untuk memimpin sesebuah organisasi itu sebagai satu amanah untuk menerajui organisasi tersebut mencapai ke tahap yang paling cemerlang. Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah. Paling menarik, sifat ini dianggap titik penentu atau garis pemisah tahap keimanan dan keagamaan seseorang insan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW menegaskan:

“Tiada iman bagi orang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang tidak dapat dipegang janjinya.” (HR Ahmad dan Dailami)

Bahkan dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW turut mengingatkan kepada kita bahawa sekiranya kita bersikap jujur, rezeki kita akan dipermudahkan. Sabda Baginda:

“Sifat amanah akan menjemput rezeki manakala sifat khianat (menipu) akan membawa kefakiran.” (Musnad Firdaus al – Dailami)

Buat para pemimpin, tolong jaga keimanan anda. Jangan disebabkan tawaran dunia, anda semua menjadi ‘buta hati’ hingga mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat. Ingat hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW di atas, “…dia akan dibangkit di hari kiamat dengan pengkhianatan itu.” Mahukah kita menjadi golongan seperti itu? Apa yang anda lakukan, semuanya telah tercatat di belah kanan dan kiri oleh malaikat Raqib dan Atid. Andai amalan kiri kita lebih banyak berbanding amalan kanan, dan pada masa itu nyawa pun sudah di hujung nafas, adakah kita sempat untuk bertaubat dan memohon keampunan?

Jadilah seorang pemimpin yang sempurna imannya. Barulah diri kita dihormati dan disanjungi oleh rakyat jelata. Pemimpin yang jujur dan amanah adalah pemimpin yang berwibawa dari segi akhlak dan keimanannya kerana sifatnya yang takut akan balasan Allah SWT di hari kiamat kelak di atas semua amalan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here