Dalam suasana dan keadaan politik negara yang tidak menentu sekarang ini, ditambah pula dengan keadaan pandemic Covid-19 yang semakin meningkat, adalah lebih baik untuk para pemimpin melupakan seketika kepentingan politik diri sendiri dan juga parti sebaliknya bersatu bersama-sama rakyat bagi melandaikan lengkuk catatan kes Covid-19. Lihatlah apa yang jadi pada hari ini, kita masih belum menang dalam mengatasi pandemik wabak yang serius ini, tetapi perpaduan di antara rakyat dan pemimpin sudah pun kucar-kacir. Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya kami telah tulis di dalam Zabur sesudah kami tulis di dalam lauh Mahfuz bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaku yang saleh.” (QS al – Anbiya’: 105)

Majoriti kepemimpinan hari ini dipegang oleh pemimpin beragama Islam, tidak kiralah sama ada dari Kerajaan atau pembangkang. Adakah YB semua sedar yang kepemimpinan YB tidak mengikut acuan yang diajarkan oleh Islam dan Rasulullah SAW? Seorang pemimpin itu harus beriman, bertakwa, tegas dan amanah. Tidak keterlaluan jika dikatakan banyak kepemimpinan hari ini adalah yang mengikut hawa nafsu dan tafsiran sendiri. Akibatnya, rakyat sudah mula hilang hormat dan muak dengan cara kepimpinan hari ini. Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak ada iman bagi orang yang tidak ada sifat amanah dan tidak ada agama bagi yang tidak boleh memegang janji.” (HR Imam Ahmad)

Wahai para pemimpin, bersatulah di antara kamu semua dan buatlah seruan kepada rakyat untuk turut sama bersatu dalam menjaga keamanan sejagat. Cukuplah! Cukup untuk bermain politik, fitnah menfitnah dan saling ‘gila’ berebut jawatan kepimpinan dalam keadaan negara yang tidak menentu sekarang ini. Tidak mustahil jika anda semua tidak berhenti untuk terus berpolitik, tahap kesihatan dan keamanan rakyat negara ini akan menjadi bertambah teruk. Semalam sahaja kita sudah mencapai angka 6,075 kes harian. Adakah kita menunggu 10 ribu kes harian?! Fikirkan kemaslahatan rakyat dan negara, disiplinkan diri dan berganding bahu bersama rakyat bagi menyelesaikan masalah ini.

Ketahuilah wahai semua pemimpin sama ada pemimpin kerajaan mahupun pembangkang. Jadilah pemimpin yang unggul iaitu pemimpin yang bertakwa kepada Allah, yang menyeru rakyatnya supaya saling bersatu padu bukan menyeru kepada berpecah belah dan saling fitnah menfitnah akibat perbezaan fahaman politik. Pemimpin yang unggul juga adalah pemimpin yang menjalankan amanah kepimpinan dengan menjaga dan berusaha menyelesaikan kemaslahatann rakyat, berusaha mewujudkan keharmonian kehidupan rakyat secara bersama serta saling berusaha untuk menjaga keamanan negara; bukannya pemimpin yang suka mengaibkan dan menjatuhkan pemimpin lain kerana ‘gilakan’ jawatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here