Isu mengenai ganja kini mendapat perkembangan baru apabila Menteri Kesihatan YB Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan kerajaan akan membenarkan penanaman ganja jenis hemp dari spesis Cannabis sativa bagi tujuan penyelidikan. Ganja jenis ini berlainan dengan ganja jenis marijuana yang dilarang kerana mengandungi kandungan psikoaktif tinggi hingga menimbulkan rasa khayal.

Hemp sebenarnya sudah digunakan dalam pelbagai industri kerana ianya mudah dijaga dan tidak memerlukan semburan racun serangga kerana sifat pokok ganja hemp yang semulajadi. Industri tekstil di Amerika Syarikat sudahpun menggunakan serat ganja hemp pada awal 1800an kerana ianya anti bakteria, murah dan kekuatan seratnya adalah 70 kali lebih lasak daripada kapas.

Hemp boleh digunakan dalam pelbagai bentuk mengikut tujuan komersial

Malah, hemp juga digunakan dalam pelbagai bentuk iaitu gandum hemp, biji tanpa isi hemp, tepung hemp dan serbuk protein hemp. Ianya boleh digunakan dalam industri pemakanan seperti susu, teh, ais krim, jem roti dan banyak lagi. Kandungan bahan serat hemp tinggi turut dijadikan pakaian dan perabut dengan menggunakan campuran hemp dengan kadar 45 peratus hingga 55 peratus. Bijinya pula boleh digunakan dalam campuran makanan burung dan sebagai umpan sewaktu memancing ikan.

Di samping itu, penggunaan hemp yang meluas ini telah menarik minat negara-negara asing untuk diusahakan bagi tujuan khusus seperti di Kanada (tananam hemp terluas di dunia), Perancis dan China. Kebanyakan hasil daripada tananam hemp lebih banyak dieksport ke Amerika Syarikat. Jumlah nilai pasaran domestik hemp ini dianggarkan sebanyak 3.7 bilion dollar (RM15.17 bilion).

Penggunaan hemp sudah pun digunakan secara meluas dan industri jualan hemp secara global akan mencapai 5.7 bilion dollar (RM23.37 bilion) menjelang 2020. Malah syarikat denim terkenal, Levis menghasilkan seluar jeans pertama menggunakan ganja hemp untuk pelombong arang batu di Amerika pada zaman era kegemilangan industri penanaman hemp.

Menurut YB Dzulkefly, kebenaran untuk menanam hemp ini adalah di bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana Menteri Kesihatan mempunyai kuasa memberi izin penanaman hemp. Tetapi kebenaran tersebut hanya untuk pengeluaran serat dan biji sahaja bagi tujuan penyelidikan bukan untuk komersial seperti negara lain.

Perbezaan hemp dan marijuana

Jika ianya ditanam di Malaysia, ganja jenis ini boleh dimanfaatkan dalam industri tekstil dan mengurangkan kebergantungan kapas yang susah dijaga. Ia juga boleh meningkatkan industri permakanan organik kerana penggunaannya boleh menghasilkan produk bukan tenusu seperti susu, tauhu dan ais krim. Ia dapat dijadikan bahan alternatif kepada kacang soya jika kajian lanjut dijalankan mengenai tanaman hemp.

Justeru, cadangan Menteri Kesihatan ini boleh mengubah industri bio-proses di Malaysia dengan penanaman hemp. Walau bagaimanapun, kerajaan harus memantau penanaman hemp ini kelak bagi mengelakkan penyalahgunaan pihak yang menanam marijuana kerana kedua-duanya mempunyai bentuk daun yang sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here