Peningkatan mendadak kes penderaan kanak-kanak sejak kebelakangan ini wajar untuk mencemaskan dan membimbangkan kita. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja laporan kes terbaru penderaan kanak-kanak di negara kita. Walaupun kes penderaan kanak-kanak bukan isu baru dalam kalangan masyarakat, namun itu bukan alasan untuk kita membiarkan ia berlarutan apatah lagi ketika kes seperti ini sedang menunjukkan trend yang meningkat.

Banyak lagi kes seperti ini yang telah dilaporkan oleh media sebelum ini, ada yang sudah dijatuhkan hukuman dan ada yang sedang didakwa. Dari segi keadaan mangsa penderaan pula, ada yang sudah meninggal dunia dan ramai yang mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk kecacatan kekal sepanjang hayat. Malah kita juga khuatir akan wujud banyak lagi kes seperti ini yang mana mungkin sedang berlaku di seluruh negara, tetapi tidak dilaporkan oleh mana-mana pihak kerana takut atau malu.

Kanak-kanak perlu diberikan kasih sayang yang secukupnya untuk mereka bahagia

Oleh itu, satu akta telah diwujudkan di dalam negara ini bagi melindungi kanak-kanak iaitu Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991dimana ia adalah suatu akta yang memperuntukan mengenai pemuliharaan dan perlindungan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, dan mengenai perkara-perkara yang bersampingan dengannya atau yang berkaitan dengannya. Seterusnya adalah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1947 (Akta 232) Seksyen 3 dimana ia bertujuan untuk melindungi Kanak-kanak atau orang muda yang telah dipukul, diseksa, diabaikan, didedah kepada bahaya; atau disuruh melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan ia dipukul, diseksa, diabaikan atau didedah secara langsung atau tidak langsung yang akan mengakibatkan kecederaan atau penderitaan kepada kesihatannya.

Penderaan kanak-kanak meninggalkan banyak kesan kepada pendera, mangsa dan masyarakat. Akibat penderaan ini ia akan mendatangkan masalah terutama dalam aspek pembangunan emosi dan interaksi antara satu sama lain. Perilaku pendera meyakinkan perkara ini berulang sekiranya tiada tindakan. Kerana tiada tindakan atau laporan dari masyarakat mangsa dera kemungkinan akan menghadapi trauma sepanjang hidupnya.

Akibat penderaan yang dilakukan itu mangsa akan mengalami kecederaan fizikal dan gangguan emosi berkekalan. Keadaan ini sekaligus memberi kesan negatif khususnya apabila mereka meningkat dewasa kelak.

Tahap gangguan emosi setiap mangsa adalah bergantung kepada keadaan dan cara bagaimana mangsa di perlakukan oleh pendera. Kesan ini akan di bawa sepanjang kehidupan mangsa serta meninggalkan memori hitam dalam kehidupan. Ramai antaranya yang bertindak liar akibat tekanan emosi malahan ada yang sanggup membunuh sekiranya tidak mendapat rawatan yang baik.

Dengan ini kerajaan dan masyarakat harus mengambil ikhtibar dan berperanan melaporkan setiap kejadian. Selain daripada itu kempen dan ceramah pentingnya institusi kekeluargaan serta menerapkan sikap kasih sayang terhadap anak-anak demi masa hadapan mereka yang lebih baik.

Pihak-pihak yang berwajib juga haruslah memberikan perhatian yang lebih terutamanya kepada ibu bapa yang kurang didikan agama. Pelbagai kursus seperti kursus pra-perkhawinan juga boleh dilancarkan untuk memberikan pengajaran dan pendidikan kepada ibu bapa mahupun golongan muda yang bakal mendirikanrumah tangga. Pendidikan seperti ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka tentang kesan yang akan berlaku sekiranya kes penderaan terhadap kanak-kanak terus meningkat.

Penderaan kanak-kanak akan membuat mereka menjadi trauma dengan tragedi tersebut

Justeru itu, walaupun hukuman berat seperti dipenjarakan, denda atau hukuman mati dikenakan kepada pesalah, kejadian penderaan ke atas anak-anak masih berterusan. Di mana silapnya? Dalam hal ini, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa apabila terlihat unsur-unsur yang mencurigakan yang membabitkan kanak-kanak. Sikap anggota masyarakat yang berdiam diri dengan alasan tidak mahu campur urusan orang lain menyebabkan makin ramai kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here