Pendidikan seks di kalangan orang-orang tua dahulu mungkin suatu perkara yang dianggap sebagai ‘taboo’ atau kurang sopan dan tidak sesuai dibicarakan di hadapan kanak-kanak, remaja atau golongan yang belum berkahwin. Mereka menganggap perkara yang berkaitan dengan seks boleh dipelajari sendiri apabila tiba masanya nanti.

Namun kini perubahan masa seiring dengan perubahan tingkah laku manusia. Gejala kes rogol, liwat, cabul bukan sahaja berlaku di kalangan golongan dewasa, bahkan kini ianya semakin menjadi virus di kalangan kanak-kanak.

Pada 2017, sebanyak 13,272 kes rogol kanak-kanak dilaporkan berlaku di seluruh Malaysia. Manakala di Selangor, 75.5 peratus suspek jenayah seksual yang berlaku di kalangan    kanak-kanak dikenali oleh mangsa. Maka tindakan kerajaan untuk melancarkan video pendidikan seks melalui Youtube wajar diberi sokongan oleh pihak Kementerian Pendidikan, pihak sekolah dan ibu bapa.

Lima buah video pendidikan seks ini dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam bentuk iklan yang dipautkan dengan sebarang video popular di negara ini dan boleh ditonton oleh kanak-kanak sebelum menonton video pilihan mereka.

Video pendidikan seks yang dilancarkan oleh kerajaan

Melalui video ini, kanak-kanak akan didedahkan mengenai apakah yang dimaksudkan dengan ‘sentuhan selamat’ dan ‘sentuhan buruk’. Pengetahuan dan kesedaran yang menjadi perkara asas kepada kanak-kanak akan disampaikan melalui video ini bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa cabul dan rogol.

Walaupun video pendidikan seks ini lebih kepada tujuan yang positif, namun terdapat segelintir netizen yang masih lagi tidak menerima pendidikan seks di media sosial. Bagi mereka, kewujudan video ini tetap tidak mampu mengurangkan statistik kadar rogol dan cabul di kalangan kanak-kanak. Malahan, ada yang berpendapat ianya tidak memberikan apa-apa manfaat.

Rakyat Malaysia perlu dididik agar berfikiran terbuka mengenai pendidikan seks. Ibu bapa perlu mengetahui kepentingan pendidikan seks pada anak mereka agar kanak-kanak itu tahu mengenai bahayanya ‘sentuhan-sentuhan’ sensitif pada tubuh badan mereka.

Antara kes jenayah rogol melibatkan kanak-kanak yang pernah menggemparkan negara

Pendidikan seks ini bukan sahaja memerlukan usaha dan inisiatif daripada pihak kerajaan, malah ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memperkenalkan tubuh badan anak kepada mereka.

Apakah bahagian yang boleh disentuh dan tidak boleh disentuh. Pendidikan seks yang bermula dari rumah mungkin mampu mencegah kanak-kanak ini daripada menjadi mangsa cabul dan rogol. Maka rakyat Malaysia perlu menyokong setiap usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mencegah jenayah di kalangan kanak-kanak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here