Kerajaan telah mengambil langkah untuk meluaskan kuota kemasukkan sehingga 60 peratus ke SBP dan 65 peratus ke MRSM bagi pelajar daripada golongan B40 mulai tahun hadapan. Sejumlah 70 peratus atau 5,400 pelajar daripada keluarga dalam kelompok berpendapatan B40 telah berjaya menempatkan diri di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara dan 20 peratus adalah merangkumi kelompok M40 serta 10 peratus daripada kelompok T20.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membuka peluang bagi kelompok B40 ditawarkan ke SBP dan MRSM mulai 2019.

Namun, terdapat pelbagai rungutan daripada ibu bapa yang tergolong dalam golongan M40 dan T20 tidak bersetuju dengan dasar ini walaupun ia selari dengan dasar kerajaan baharu untuk terus membantu golongan kurang berkemampuan memperoleh kemudahan pendidikan berkualiti. Isu utama pelajar keluarga B40 untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau MRSM dilihat menjadi isu yang sangat sensitif dalam kalangan ibu bapa kerana ramai yang berharap untuk anak-anak mereka memasuki dua jenis sekolah itu berdasarkan merit pelajar.

Isu ini telah menjadikan media sosial dipenuhi dengan pelbagai komen terutama di kalangan ibu bapa yang nama anak mereka tidak tersenarai. Sehubungan itu, terdapat dakwaan bahawa anak mereka yang mendapat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah rendah (UPSR) 6A dan aktif kokurikulum tidak mendapat tempat kerana berada dalam kelompok berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T20) tetapi rakan anak-anak mereka yang hanya mendapat 1A diterima kerana datang daripada golongan B40.

Sehubungan itu, ibu bapa dari golongan B40 sudah tentu menyambut baik usaha kerajaan ini namun kebimbangan mereka pula mula teralih kepada perbelanjaan kemasukan ke MRSM dan SBP yang mahal seterusnya menyebabkan anak mereka terpaksa menolak tawaran tersebut. Hal ini juga menjadi perkara yang dibahaskan oleh netizen di laman media sosial.

kira-kira 5,400 pelajar daripada keluarga dalam kelompok berpendapatan B40 berjaya menempatkan diri di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara.

Selain itu, terdapat dakwaan bahawa MRSM dan SBP sebelum ini telah dimonopoli oleh golongan elit sehingga mengganggu peluang untuk golongan pelajar B40. Namun, ia terus mendapat pelbagai maklum balas di laman sosial facebook terutamanya mengenai nasib anak-anak kumpulan T20 dan M40 walaupun pelajar dari kedua-dua golongan ini adalah layak untuk memasuki ke MRSM atauu SBP.

Maklum balas yang terdapat di laman sosial banyak menyatakan rasa kebimbangan ibu bapa dari golongan M40 dan T20 yang merasakan mereka seakan-akan disisihkan oleh kerajaan dalam menerima bantuan. Terdapat juga yang mendakwa merit permohonan mereka tidak wajar diketepikan sepenuhnya kerana sebahagian SBP yang cemerlang banyak dibantu oleh kumpulan ibu bapa M40 dan T20 dalam segenap segi.

Oleh itu, selain daripada melihat kedudukan sosio ekonomi keluarga, kelayakan dan kecemerlangan pelajar dalam akademik serta kokurikulum juga wajar dilihat secara menyeluruh dalam menguruskan penempatan pelajar di SBP dan MRSM. Penilaian terhadap angka pendapatan semata-mata tidak seharusnya menjadi pengukur kemasukan ke SBP dan MRSM kerana keluarga daripada golongan M40 yang memiliki anak yang ramai dan mempunyai kelayakan secara merit juga wajar diberi pertimbangkan seadilnya.

Selain itu, kerajaan juga perlu mengkaji adakah pelajar dari golongan M40 dan T20 juga wajar dan layak menerima bantuan pendidikan seperti pelajar golongan B40. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menyelaraskan kedudukan M20 ke T20 atau T20 ke M40. Hal ini kerana, kerajaan juga perlu menggunakan pendekatan ‘turun padang’ dalam memastikan situasi sebenar tanpa mengabaikan kebajikan mereka.

Justeru itu, adalah wajar sekiranya kerajaan turut mencadangkan supaya pengambilan pelajar ke SBP dan MRSM turut difokuskan kepada pelajar di kawasan bandar bagi mengelakkan mereka daripada terdedah dengan masalah sosial bandar. Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan satu kuota khas yang adil bagi golongan M40 dan T20 seperti mengambil kira kecemerlangan akademik mereka bagi mengimbangi jumlah pelajar yang memasuki SBP dan MRSM. Oleh itu, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu melihat isu penempatan pelajar di SBP dan MRSM secara menyeluruh supaya tidak ada golongan di negara ini terasa dianak tirikan oleh kerajaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here