Pada zaman teknologi kini, pengamal media telah menjadi sumber penting kepada ramai pihak bagi mendapatkan berita dan maklumat yang berguna kepada mereka. Pengamal media atau dikenali sebagai wartawan boleh mempengaruhi masyarakat dengan penulisan serta ketelusan mereka dalam menyampaikan maklumat benar.

Pengamal media mempunyai dua kategori iaitu pengamal media cetak dan pengamal media elektronik. Bagi pengamal media cetak ianya merangkumi pengumpulan bahan, menulis dan menerbitkannya dalam akhbar seperti Sinar Harian, Harian Metro, The Star dan lain-lain. Manakala pengamal media elektronik pula merujuk kepada usaha mengumpul bahan, menulis dan menyiarkannya dalam media elektronik sama ada TV atau radio seperti RTM, TV3, Astro Awani, Bernama dan banyak lagi.

Kini terdapat satu lagi pengamal media baru yang makin menjadi pilihan rakyat iaitu media internet di mana mereka memperoleh maklumat dan menerbitkan berita di laman internet serta media sosial seperti MalaysiaKini, Free Malaysia Today, The Malaysian Insight dan lain-lain. Kepelbagaian jenis media di Malaysia membolehkan lebih banyak maklumat dapat disalurkan kepada rakyat bila-bila masa dan dimana jua.

Berita yang diterbitkan haruslah mempunyai maklumat yang benar dan tidak berat sebelah

Sehubungan itu, para pengamal media yang sudah menjadi sumber maklumat penting kepada  rakyat ini perlu memastikan mereka mengekalkan aspek yang perlu ada berpandukan kepada Etika Kewartawanan Malaysia. Antaranya adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapat maklumat yang betul. Ini adalah aspek penting kerana sebarang maklumat yang tidak benar boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat hingga mencetuskan salah faham akibat daripada penulisan serta penerbitan mereka.

Di samping itu, pengamal media perlu telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam menyampaikan berita kepada rakyat. Ini bagi mengelakkan konflik kepentingan yang boleh mengelirukan pembaca. Kadang-kadang berita yang disampaikan tidak menyeluruh bagi menjaga kepentingan sesuatu pihak dan akibatnya pembaca tidak faham keseluruhan berita itu kerana ada maklumat yang disembunyikan. Inilah tanggungjawab pengamal media yang berkhidmat untuk rakyat dengan melaporkan fakta-fakta yang benar tanpa rasa takut dan berat sebelah.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa pengamal media yang melakukan kesalahan dalam menyampaikan berita kepada masyarakat. Sesetengah pengamal media suka menyiarkan berita tanpa mendapatkan pengesahan maklumat tersebut semata-mata ingin menjadi media terawal menyiarkan sesuatu berita. Berita tersebut boleh menjadi sekadar khabar angin dan andaian sesuatu pihak sedangkan ianya sudah tersebar luas. Akibatnya berita itu boleh menjadi fitnah dan ianya melanggar Etika Kewartawanan yang sepatutnya diamalkan mereka.

Etika Kewartawanan Malaysia perlu diikuti semua pengamal media

Selain itu, terdapat juga pengamal media yang ghairah memancing perhatian membaca tanpa mengira sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama. Apabila berlaku kejadian buruk, isu kaum turut ditekankan hingga mencetuskan provokasi. Sebagai contoh, penulisan tajuk berita “Seorang lelaki Melayu membunuh seorang perempuan Cina” telah melanggar konsep penulisan berita kerana mereka tidak perlu menunjuk penekanan terhadap bangsa lelaki tersebut.

Oleh kerana itu, pengamal media perlu mempunyai rasa tanggungjawab dalam melaporkan berita yang benar dan tidak menyentuh sensitiviti kepada rakyat. Pengamal media sepatutnya diberi penerangan tentang undang-undang yang sepatutnya mereka ikut kerana banyak kes-kes berita tidak benar berlaku hingga kes dibawa ke mahkamah. Malah, ada juga pengamal media tidak mempunyai asas kewartawanan dan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang Etika Kewartawanan seperti pengamal media lain. Kerana itulah banyak penulisan berita tidak benar berlaku dan mereka hanya mengikut arahan daripada pihak atasan sahaja.

Maka, pengamal media perlu sentiasa mengamalkan etika yang baik dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat. Mereka perlu sedar bahawa amanah yang digalas melalui mata pena dan papan kekunci perlu dipikul dengan tanggungjawab bagi menyalurkan maklumat yang benar. Ini kerana segala laporan berita tidak tepat yang sudah tersebar luas boleh menyebabkan kerugian kepada masyarakat dan negara hingga tidak boleh diperbaiki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here