Lima hari lalu negara digemparkan dengan kematian bayi berusia tujuh bulan akibat kecederaan dan pendarahan dalaman di bahagian kepala. Pada 12 Januari 2019, rakyat sekali lagi menangis hiba dengan kematian Aariz Harraz Zahin, sembilan bulan akibat didera oleh pengasuh. Bayi malang itu mengalami pendarahan otak akibat hentakan kuat. Pengasuh berkenaan mengaku telah menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis dan mendakwa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat haid. Kanak-kanak bukan ‘punching bag’!

Kematian bayi Aariz Harraz selepas koma akibat ‘mati otak’ meruntun jiwa rakyat Malaysia

Menurut kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), statistik penganiayaan dan penderaan kanak-kanak pada 2016 adalah sebanyak 4,982 kes. Angka itu meningkat pada 2017 iaitu pertambahan sebanyak 460 kes, menjadikan jumlah kes keseluruhan dilaporkan sebanyak 5,442 kes. Pada 2018 pula iaitu dari Januari sehingga April sebanyak 1,929 kes telah dilaporkan di seluruh negara. Siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah ibu bapa yang mencari rezeki? Atau pihak kerajaan yang telah melakukan pelbagai alternatif untuk melindungi kanak-kanak seperti menggubal dan meminda akta yang sedia ada?

Kesalahan tidak boleh diletakkan pada bahu kerajaan sepenuhnya kerana pada tahun 1991 kerajaan telah membentuk Akta Perlindungan Kanak-kanak bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak dan Orang muda 1947, menunjukkan betapa kerajaan memandang serius mengenai isu ini.

Walaupun telah diwujudkan akta khusus untuk membendung jenayah ini, namun statistik kes kematian bayi dan kanak-kanak akibat didera semakin meningkat. Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016, hukuman denda bersama hukuman penjara sehingga 20 tahun telah diperuntukkan bagi kesalahan mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak. Jika membabitkan kematian, pesalah berhadapan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati.

Secara jujurnya, situasi ini meletakkan ibu bapa yang berkerjaya di dalam keadaan ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’. Keadaan ekonomi negara yang sekaligus memberi impak kepada ekonomi keluarga menyebabkan golongan ibu yang paling terkesan, kerana mereka terpaksa memilih di antara anak-anak atau kerjaya.

Golongan wanita sering berada di dalam dilema untuk memilih di antara kerjaya atau keluarga

Di Finland, penganggur akan diberi elaun sebanyak (RM2643) secara bulanan. Idea ini mungkin boleh digunakan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu golongan ibu yang memilih untuk berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada keluarga. Ya, memberikan elaun kepada golongan suri rumah. Cadangan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kemiskinan dan menaikkan institusi kekeluargaan negara, di mana pembentukan peribadi kanak-kanak ini bermula dari rumah. Pembentukan ini akan mempengaruhi generasi masa hadapan negara.

Tidak semua wanita memilih untuk menjadi suri rumah, kerana terdapat segelintir daripada mereka selesa dengan dunia kerjaya, tetapi dalam masa yang sama tidak mahu mengabaikan anak-anak. Oleh itu, kerajaan perlu mewujudkan suasana tempat kerja yang mesra kanak-kanak samada di sektor swasta atau awam. Setiap jabatan perlu menyediakan satu taska atau pusat asuhan untuk kanak-kanak, kerana ia melibatkan tanggungjawab sosial majikan terhadap pekerja. Kewujudan taska di tempat kerja membantu mengurangkan kebimbangan kaum ibu, sekaligus meningkatkan produktiviti kerja mereka.

Terlalu sukar untuk menyatakan apakah faktor utama masalah ini terjadi. Namun, kebanyakan pelaku menjadikan kanak-kanak ini sebagai tempat melepaskan tekanan. Oleh itu, kerajaan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat serta netizen tolong lakukan sesuatu. Jika ada sebarang kepincangan, laporkan pada pihak berkuasa. Kanak-kanak tidak layak untuk merasai setiap kesakitan akibat tekanan daripada orang dewasa. Mereka adalah amanah dan saham akhirat kepada ibu bapa serta penjaga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here