Malaysia dan pengaruh barat dilihat sememangnya sinonim, apatah lagi Tanah Melayu ini mula dikuasai oleh pengaruh British semenjak tahun 1771. Sehinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, ini bermakna selama 186 tahun negara ini berada dalam taklukan pemimpin British. Walaupun setelah 62 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, tidak dapat dinafikan aura pengaruh barat daripada penjajah masih lagi menakluki minda rakyat negara ini.

Jika dilihat, banyak pengaruh barat yang masih lagi ‘merajai’ pemikiran rakyat Malaysia khususnya golongan belia alaf baru. Antara pengaruh barat yang masih lagi diguna pakai dan mungkin akan selamanya dipraktikkan di negara ini adalah seperti kapitalisme di mana kita boleh lihat pengumpulan kekayaan oleh golongan tertentu dan tidak membahagikan sumber kekayaan untuk dinikmati bersama-sama golongan lain seperti pengaruh sosialisme. Pendek kata, yang kaya akan terus kaya, yang miskin akan kekal miskin.

Selama 186 tahun Malaysia dijajah oleh Bristish sebelum mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957

Selain itu, pengaruh lain seperti hedonisme dan gangsterisme juga merupakan antara pengaruh barat yang semakin menguasai rakyat negara ini. Lihat sahaja apa yang pernah terjadi di negara ini, kes pukul dan kes keruntuhan akhlak semakin menjadi-jadi hingga adanya yang melibatkan kehilangan nyawa. Satu lagi pengaruh barat yang kini dilihat semakin hari semakin ‘meracuni’ moral dan kehidupan sosial rakyat Malaysia adalah amalan LGBT. Ia seakan ‘barah’ yang memakan diri rakyat negara ini dengan amalan-amalan yang bertentangan dengan norma-norma kesusilaan masyarakat Malaysia secara amnya.

Sejauh mana hal ini mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia? Terlalu mendalam hingga menimbulkan pandangan negatif dunia terhadap moraliti masyarakat negara ini. Sebagai contoh, kes perhimpunan-perhimpunan haram bertukar kepada keganasan vandalisme dan gangsterisme hingga menyebabkan kerosakan major fasiliti-fasiliti negara. Laporan-laporan media asing turut menyatakan bahawa perilaku rakyat Malaysia pada ketika itu tidak ubah seperti orang gasar atau golongan barbarian.

Tidak hanya itu, negara ini juga tidak terlepas daripada pengaruh hebat LGBT di mana ada di antara masyarakat negara ini yang berani memperjuangkan hak golongan songsang berikut. Hal ini sudah pasti menimbulkan pelbagai persoalan tentang kedudukan agama rasmi Malaysia di dalam Perlembagaan Persekutuan. Mengambil kira kejadian yang berlaku pada Mac lalu apabila satu perhimpunan haram yang melaungkan slogan pro LGBT, golongan ini dilihat semakin berani ke hadapan demi menuntut hak kesaksamaan serta diberi keistimewaan sama seperti rakyat Malaysia yang lain.

Kenapa pengaruh barat mudah meresapi minda rakyat Malaysia? Jawapan yang cukup mudah, kerana pengaruh daripada laman sosial secara tidak terbatas. Semua orang tahu, hidup dalam kecanggihan teknologi pada hari ini memudahkan kita menerima segala bentuk maklumat tanpa tapisan dan ini termasuklah berkenaan budaya barat yang jauh menyimpang dari akhlak. Oleh kerana kurangnya didikan dan pengetahuan, maka senanglah bagi rakyat negara ini terpengaruh dengan segala dakyah yang disampaikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain kapitalisme dan sosialisme serta LGBT, Malaysia juga tidak terlepas daripada pengaruh gangsterisme yang semakin ‘merajai’ golongan belia

Dalam perkara ini, ada kebaikan dan ada keburukannya terhadap pengaruh barat dalam negara Malaysia. Namun, ia tergantung kepada kita sebagai rakyat untuk melakukan penilaian sama ada ia baik ataupun sebaliknya. Mungkin ada sedikit pengaruh barat yang memberi kebaikan kepada negara Malaysia misalnya dari segi ekonomi.

Sememangnya pengaruh barat terhadap Malaysia tidak dapat dipisahkan, namun bukanlah semuanya harus dihadam dan diamalkan. Oleh itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa menilai antara pengaruh baik dan buruk agar tidak menjadi ikutan dan seterusnya menyebabkan Malaysia hilang moraliti akhlak sebagai orang Timur. Bak kata pepatah ‘yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here