Kerajaan telah mewartakan dua perintah untuk memberikan pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong dari China dan India dari 1 Januari ke 31 Disember 2020. Ia adalah bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia yang akan disambut pada tahun ini.

Walau bagaimanapun, mereka perlulah mematuhi syarat yang telah diberikan oleh pihak kerajaan iaitu pelancong hendaklah berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik yang disediakan terlebih dahulu dan selepas selesai mendaftar, mereka perlu melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh 3 bulan dari tarikh pendaftaran.

Pelancong dari China sering memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan

Ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa keputusan untuk memberikan pengecualian visa kepada rakyat China dan India akan memberi masalah kepada negara kita terutama sekali dalam isu lambakan pelancong dua negara berkenaan yang bermastautin di negara ini. Ia adalah kerana hampir 95 peratus pelancong China dan India yang tiada rekod tarikh keluar antara 2016 hingga 2018.

Namun, secara logiknya tawaran yang dibuat kepada pelancong ini akan merancakkan lagi sektor pelancongan negara selain dapat memberi impak positif kepada ekonomi negara. Negara kita terkenal di dunia sebagai antara destinasi pelancongan yang terbaik kerana mempunyai pelbagai tempat tumpuan para pelancong.

KLCC adalah antara kawasan tumpuan pelancong di Malaysia

Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah memberikan jaminan bahawa keselamatan negara akan menjadi keutamaan dan tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara. Jabatan Imigresen sentiasa menjalankan operasi untuk membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pelancong yang tinggal di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan.

Justeru itu, pengecualian visa selama 1 tahun ini perlu dilihat kepada sudut yang lebih positif oleh kerana kita yakin dan percaya segala kemudaratan serta kesan daripada polisi baru ini pasti akan diatasi dengan sebaik mungkin oleh pihak yang bertanggungjawab. Kita berharap agar sasaran untuk membawa 30 juta pelancong tahun ini dengan kempen Visit Malaysia 2020, dan memperoleh pendapatan dari sektor pelancongan sebanyak RM100 bilion akan menjadi kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here