Malaysia merupakan negara yang sentiasa mengamalkan kebebasan bersuara kerana ianya termaktub di dalam Perkara 10(a) Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, masih ada sesetengah pihak menyalahgunakan kebebasan tersebut dengan membuat hasutan sehingga mencetuskan provokasi dan kemarahan orang lain dengan isu-isu sensitif. Disebabkan itulah Malaysia mempunyai undang-undang tersendiri iaitu Akta Hasutan 1948 untuk mencegah apa-apa hasutan di negara ini.

Akta Hasutan digubal pada 1948 dan berdasarkan kepada Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan had kepada kebebasan bersuara. Ianya merupakan satu undang-undang untuk membanteras mana-mana individu yang cuba menghasut Raja, kerajaan, mengganggu keharmonian kaum dan perkara-perkara sensitif yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Polis Negara mengesahkan 3 individu ditahan dibawah Akta Hasutan 1948 kerana menghina Agong

Mana-mana individu boleh disabitkan kesalahan mengikut daripada Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 iaitu melakukan apa-apa percubaan menghasut dari segi perkataan, tulisan dan penyebaran apa-apa penerbitan menghasut. Individu yang didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih 3 tahun atau denda RM5,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan seterusnya boleh dipenjara tidak lebih 5 tahun.

Akta Hasutan wajar dikekalkan di Malaysia khususnya melibatkan isu-isu sensitif kerana sehingga kini ramai individu yang tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dengan membuat kenyataan menghasut orang ramai di media sosial. Antara yang dikesalkan adalah kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial baru-baru ini dan mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia. Akibat daripada perbuatan tersebut, 3 individu telah ditahan dibawah akta ini kerana melanggar kesalahan Seksyen 3(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Raja.

Jika dibandingkan dengan negara yang masih mengekalkan sistem pemerintahan beraja atau monarki seperti Thailand, hukuman yang dikenakan terhadap mana-mana individu menghasut Institusi Diraja di negara ini masih ringan. Sejak kerajaan Thailand ditadbir oleh tentera, mereka memperkenalkan undang-undang mengenai lese majeste iaitu perbuatan menghina, memalukan atau mengancam Raja, Ratu, pewaris atau kerabat di bawah Perkara 112 kod jenayah Thailand dan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 15 tahun.

Thailand memberi hukuman penjara 15 tahun kepada mana-mana individu yang menghina Raja Thailand

Di sebalik kepentingan Akta Hasutan ini, terdapat suara-suara daripada NGO dan badan guaman yang menentang Akta Hasutan kerana dikatakan menghalang perpaduan serta disalahguna oleh sesetengah pihak untuk kepentingan masing-masing. Jika akta ini disalah guna oleh sesetengah pihak, mereka yang menentang akta ini tidak perlu meminta untuk dimansuhkan sepenuhnya kerana ia boleh dipinda dan ada sebahagian Seksyen di dalam akta ini masih penting untuk dikekalkan. Melainkan mereka mempunyai agenda tersendiri di sebalik penentangan tersebut.

Oleh kerana itu, Akta Hasutan ini masih relevan untuk dikekalkan kerana ianya penting bagi menjaga keharmonian negara. Malah jika akta ini dihapuskan, tidak mustahil lebih banyak hasutan boleh terjadi kepada Institusi Diraja dan perkara sensitif di dalam Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya keselamatan negara boleh terjejas sama seperti yang terjadi pada 13 Mei 1969 dimana tragedi berdarah berlaku akibat rusuhan kaum. Justeru rakyat perlu melihat dari aspek yang lebih besar berbanding hak asasi yang kadang kala tidak relevan dengan suasana masyarakat di negara ini.

Pihak keselamatan khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada bagi mengelakkan sistuasi yang boleh mengancam keselamatan negara. Segala tentangan terhadap undang-undang yang menjaga keharmonian atas alasan takut disalahgunakan perlu dielakkan seperti yang disebut oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid, “memansuhkan undang-undang kerana takut ia disalahgunakan samalah dengan seorang yang menjual kereta mewahnya kerana takut memandunya dengan laju”. Jadi fikir-fikirkanlah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here