Isu pengiktirafan lesen memandu asing di negara ini bukanlah suatu perkara baharu. Jadi memang sewajarnya pihak berkuasa segera mengambil tindakan supaya dapat menangani masalah ini kerana ia boleh mengundang banyak musibah serta padah kepada masyarakat dan juga negara.

Baru-baru ini kerajaan bakal menganjurkan program khas untuk peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu negara asing yang ingin membuat pertukaran lesen memandu Malaysia. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kelulusan khas akan diberikan kepada mereka yang layak berdasarkan peraturan yang ditetapkan antaranya individu berkenaan perlu mempunyai lesen penuh memandu negara asal yang masih sah dan berkuatkuasa. Lesen memandu asal mereka akan ditukarkan kepada lesen percubaan (lesen P) di Malaysia untuk tempoh percubaan selama dua tahun dan mereka diwajibkan untuk memenuhi syarat-syarat yang sama dikenakan kepada pemegang lesen P yang lain.

Kerajaan bakal laksanakan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu negara asing

Perkara ini adalah bagi memastikan individu berkenaan mempunyai kompetensi untuk memandu seterusnya mendidik mereka untuk mematuhi semua peraturan jalan raya di negara ini serta memberi maklumat bahawa budaya pemanduan adalah berbeza di antara negara terutamanya pemanduan kenderaan sebelah kiri. Manakala bagi peserta atau warganegara Malaysia yang diberikan lesen memandu dalam kalangan negara bukan penjanji kepada sebarang triti atau perjanjian dengan Malaysia, mereka akan diwajibkan untuk menduduki kelas dan ujian teori undang-undang sahaja. Hal ini amat diperlukan bagi memastikan tahap pemahaman mereka ke atas undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini mungkin berbeza dengan negara berkenaan.

Sehubungan dengan itu, mengikut Seksyen 28, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyatakan bahawa pemegang lesen memandu negara asing boleh memandu di negara ini selagi lesen memandu domestik negara asing tersebut masih sah tempoh kuatkuasanya dan yang telah disahkan oleh kedutaan Negara asal lesen memandu tersebut di Malaysia atau pihak pengeluar lesen memandu berkenaan.

Namun begitu, isu ini masih belum selesai dan ia kembali berleluasa antaranya wujud kes pemalsuan maklumat menerusi Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara yang dijalankan oleh satu sindiket untuk memudahkan orang ramai yang inginkan lesen memandu dengan cara mudah. Dengan adanya kemudahan lesen ini, ia bermakna seseorang pemilik kenderaan tidak perlu melalui proses-proses biasa yang dilalui oleh pengguna jalan raya lain untuk mendapatkan lesen memandu. Kesan negatifnya adalah pemilik lesen memandu ini akan mudah melakukan pelbagai kesalahan memandangkan mereka tidak memahami dengan jelas peraturan jalan raya.

Kes pemalsuan maklumat menerusi Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara

Selain itu, ia turut mengakibatkan ketirisan hasil negara memandangkan pihak tidak bertanggungjawab akan menawarkan lesen sama ada pada harga lebih murah ataupun tanpa calon mengambil sebarang ujian memandu pastinya dengan mudah menarik perhatian pengguna yang mahukan lesen dengan mudah dan cepat. Jadi dalam keadaan kegawatan ekonomi ini kita tidak boleh berkompromi lagi dalam soal ketirisan hasil negara.

Oleh itu, semua pihak khususnya kerajaan mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah ini. Pada masa yang sama, masyarakat perlu lebih sensitif dalam isu seperti ini dan jangan sesekali menggunakan pintu belakang atau jalan pintas untuk memperoleh lesen yang tidak sah serta terpengaruh dengan promosi dan tawaran menarik daripada sindiket yang sangat licik ini. Sebaliknya sebagai rakyat yang bertanggungjawab, segera laporkan kepada pihak berkuasa jika ada sindiket yang mendekati kita dan menawarkan perkhidmatan ini. Ingat tidak akan ada penawaran jika tidak ada permintaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here