Pengumuman KPM mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) telah mencetuskan isu yang polemik di kalangan rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu. Mereka beranggapan bahawa sekiranya kerajaan mengiktiraf sijil UEC, ia telah melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan bagi Malaysia selain melanggar Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menuntut supaya kurikulum dan penilaian peperiksaan menggunakan bahasa Melayu.

Selain itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataannya mengatakan pengiktirafan sijil UEC perlulah menimbangkan perasaan orang Melayu dan dalam masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa Melayu. Tambahnya, kerajaan pada hari ini sedia mengiktiraf ijazah asing yang dikeluarkan oleh negara-negara lain. Akan tetapi, para pelajar harus mempunyai penguasaan asas bahasa Melayu kerana negara ini tidak boleh mengambil sistem pihak luar dan mengaplikasikannya tanpa memikirkan bahawa Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum.

Sekiranya kerajaan ingin meneruskan hasrat mengiktiraf sijil UEC, beberapa faktor harus diambil kira agar ia tidak dijadikan sebagai isu yang sensitif oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Pihak KPM harus meneliti tentang kerelevenan sijil UEC untuk diguna pakai di negara ini secara am bagi mengelakkan berlakunya sebarang percanggahan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pengiktirafan sijil UEC perlu mengambil kira semua faktor agar ia tidak dijadikan ‘kambing hitam untuk mencetuskan provokasi di antara kaum sehingga menggugat keamanan negara

Di samping itu, kerajaan haruslah memastikan pengiktirafan sijil UEC ini tidak dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ untuk mencetuskan provokasi di antara kaum sehingga menggugat keamanan negara. Ini kerana mungkin ada sesetengah pihak dengan sengaja menimbulkan kontroversi dengan mengaitkan pengiktirafan sijil ini dengan penguasaan sesebuah kaum dari segi pemerintahan dan ekonomi (rasis).

Pihak kerajaan seharusnya mengkaji terlebih dahulu pengiktirafan UEC ini kerana kerajaan perlu melihat implikasi kepada Dasar Pendidikan Negara jika ia dilaksanakan. Ini kerana ia boleh menimbulkan banyak sentimen perkauman di mana ia boleh menjadi punca perpecahan kaum. Matlamat Dasar Pendidikan yang mahu melihat sistem pendidikan yang sama bagi semua kaum juga tidak dapat dicapai oleh kerajaan Malaysia.

Jika kerajaan akan mengiktiraf UEC ini, kerajaan perlu meletakkan UEC ini di dalam Dasar Pendidikan Negara di mana kerajaan boleh selaraskan silibus UEC ini dan soalan peperiksaan UEC dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini kerana jika sistem pendidikan kita tidak diselaraskan ia akan menyebabkan berlakunya dualisme dalam aliran pendidikan negara ini.

Pelajar UEC bijak dan bukan masalah bagi mereka menguasai Bahasa Melayu dan Sejarah jika mereka boleh menguasai puluhan subjek lain

Selain itu, kerajaan juga perlu lebih tegas bagi memastikan UEC tidak meminggirkan bahasa Melayu dan juga Sejarah kerana ia penting untuk memastikan pelajar menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik dan juga mempunyai semangat patriotik kepada negara. Mata pelajaran Sejarah dalam UEC hanya mempunyai 57% sejarah Malaysia berbanding silibus yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu 90%.

Pengiktirafan terhadap sijil ini juga boleh menghakis peluang kemasukan pelajar Melayu dan Bumiputera ke IPTA yang ada dalam negara. Seperti yang kita sedia maklum, prinsip meritokrasi merupakan prinsip utama untuk kemasukan ke semua IPTA di negara kita. Para pelajar Melayu atau Bumiputera yang patuh kepada dasar-dasar kerajaan akan mempunyai peluang yang tipis untuk masuk ke IPTA berbanding pelajar-pelajar yang mengambil UEC iaitu seramai 20,000 orang setahun.

Justeru itu, kerajaan perlu membuat keputusan yang terbaik dalam pengiktirafan UEC ini kerana banyak perspektif perlu diambil kira dan tidak perlu membuat keputusan yang terburu-buru. Sekiranya pihak kerajaan sudah bertekad mahu meneruskan pengiktirafan ke atas UEC, diharapkan agar nasib golongan kaum-kaum lain akan tetap dibela. Kerajaan perlu mengambil kira isu kepentingan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan jika ada sebarang impak daripada keputusan pengiktirafan ini yang mungkin akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here