Kebanjiran peniaga warga asing di negara kini sudah berada pada tahap yang membimbangkan kerana kebergantungan peniaga kita yang terlalu tinggi pada warga asing. Ini diburukkan lagi apabila generasi muda tidak minat untuk menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan. Situasi ini bukan sahaja menimbulkan persaingan kepada peniaga tempatan tetapi merisaukan dari aspek keselamatan makanan kerana golongan itu tidak menerima latihan dalam pengendalian makanan apatah lagi untuk mematuhi garis panduan yang lebih ketat.

Kebimbangan terhadap fenomena yang semakin parah itu mendapat perhatian dan telah disuarakan oleh pelbagai pihak yang mempertikaikan bagaimana warga asing ini boleh memperoleh lesen berniaga secara berleluasa tanpa sekatan oleh pihak bertanggungjawab. Mereka begitu mudah mendapatkan lot-lot kedai yang disewa oleh warga tempatan berbanding dengan penduduk tempatan yang amat memerlukan lot berkenaan. Sikap tamak peniaga tempatan yang mahu keuntungan segera menjadikan mereka sanggup memajak lesen kepada warga asing.

Warga asing terus tawan pasar borong

Kelemahan penguatkuasaan menyebabkan warga asing terus bertapak kukuh dan menguasai satu-satu kawasan hinggakan lokasi tersebut dibanjiri oleh mereka. Keadaan itu menjadikan mereka semakin berani dan tidak gentar dengan undang-undang negara. Sikap acuh tak acuh warga tempatan dengan kehadiran rakyat asing berkenaan menggalakkan lagi aktiviti mereka. Bukti jelas dan nyata, Chow Kit dulu kebanyakan golongan peniaga adalah terdiri daripada rakyat tempatan tetapi kini lokasi berkenaan dibanjiri dan dikuasai oleh peniaga Indonesia.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mempertahankan hak kita. Biarlah peluang ini dinikmati oleh warganegara dan bukannya diagih kepada orang yang tidak berhak. Oleh itu, kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa khas membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) dan semua agensi berkaitan perlesenan dan hal warga asing bagi menangani isu dominasi pendatang asing dalam sektor perniagaan. Selain memastikan peniaga tempatan mendapat hak sepatutnya, pasukan khas itu juga penting dalam menggerakkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu. Jika ada jawatankuasa khas yang dapat menangani masalah ini, tentu tindakannya lebih berkesan.

Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen menjalankan operasi secara besar-besaran bagi menangani lambakan PATI yang bekerja dan juga menjalankan perniagaan di pasar borong

Gerak gempur secara besar-besaran oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, PBT dan SSM di seluruh negara bagi mengesan pekerja asing yang menyalahgunakan permit kerja mereka untuk berniaga. Ini bagi membolehkan kerajaan mengawal kemasukan pekerja asing yang hanya menggunakan permit pekerjaan sahaja untuk berada di negara ini. Hal ini juga boleh mengurangkan kebanjiran peniaga warga asing dari terus menjalankan perniagaan di pasar tani secara haram.

Selain itu, bagi membendung lambakan warga asing berniaga di negara ini khususnya di tapak pasar tani adalah dengan menetapkan syarat kepada peniaga tempatan untuk menjalankan perniagaan mereka sendiri atau disewakan kepada peniaga tempatan yang lain sahaja dan bukan kepada warga asing. Ini bagi membolehkan PBT memantau dan mengawal kegiatan perniagaan yang dijalankan oleh warga asing di atas nama pemilik sah tapak pasar tani.

Kita tidak sepatutnya bertolak ansur dengan isu ini kerana warga asing ini secara perlahan-lahan mengambil alih perniagaan kecil dan sederhana daripada penduduk tempatan. Warga asing ini mempunyai kelebihan daya saing berbanding usahawan tempatan kerana mereka sanggup mengambil keuntungan rendah, menjual segala jenis barangan dan menawarkan pelbagai perkhidmatan. Sekiranya masalah ini tidak ditangani segera, ada kemungkinan usahawan kecil kita terpaksa menutup perniagaan akibat persaingan sengit daripada warga asing ini yang bersedia untuk bekerja tanpa mengira waktu atau undang-undang. Sudah tentu kita akan terkesan apabila suatu hari nanti pengusaha tempatan tidak lagi mampu berniaga dan perlu memohon pekerjaan daripada warga asing ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here