Pengangkutan awam terutamanya bas merupakan salah satu pengangkutan yang amat penting di negara ini. Namun begitu, masih terdapat banyak kelemahan yang kerap menjadi rungutan pemilik syarikat bas. Selepas pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan digantikan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada Jun 2018, pengusaha bas berdepan dengan risiko penutupan operasi berikutan kelewatan pembaharuan permit oleh Kementerian Pengangkutan.

Sebanyak 30 peratus pengusaha bas yang terdiri daripada bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah, bas catar dan bas pekerja terjejas kerana berdepan kelewatan pembaharuan permit yang telah tertunggak sejak enam bulan yang lalu, seterusnya mengakibatkan pengoperasian bas tersebut tidak dapat diteruskan disebabkan kebanyakan bas tidak memenuhi syarat yang ditetapkan. Oleh yang demikian, pemilik syarikat bas terpaksa menghentikan operasi perkhidmatan tersebut sehingga proses pembaharuan permit dilakukan.

Kelewatan memperbaharui permit juga mengakibatkan cukai jalan dan insurans tidak dapat diperbaharui namun mereka masih lagi terpaksa membayar ansuran bulanan bas di agensi kewangan seperti bank dan juga pembayaran gaji pemandu bas serta pekerja syarikat tersebut. Hal ini mengakibatkan pengusaha bas mengalami kerugian dan menanggung beban yang bertambah akibat daripada isu pembaharuan permit bas dan tindakan untuk menghentikan operasi terpaksa dilaksanakan oleh pemilik syarikat bas.

Operasi perkhidmatan bas akan dihentikan apabila pembaharuan permit gagal dilakukan

Kegagalan APAD dan Kementerian Pengangkutan dalam menangani isu pembaharuan permit ini sedikit sebanyak mencalarkan reputasi kerajaan terutama Kementerian Pengangkutan. Sebelum ini bagi urusan pembaharuan permit bas yang dikendalikan oleh SPAD, tempoh pembaharuan hanya mengambil masa seminggu hingga tiga minggu. Namun, setelah peralihan kuasa dari SPAD kepada APAD, proses pembaharuan permit kini mengambil masa berbulan-bulan sehinggakan pengusaha bas berpendapat bahawa peralihan jabatan itu menjadikan mereka sebagai mangsa birokrasi.

Jika masalah ini tidak ditangani dengan kadar segera maka ramai pengusaha bas akan ‘gulung tikar’ seterusnya mengakibatkan ramai pemandu bas akan kehilangan pekerjaan. Ini kerana ketidakmampuan pengusaha bas untuk membayar gaji pekerja malah pengusaha bas juga terpaksa menanggung hutang yang tinggi dan tidak mustahil untuk pengusaha bas ini melakukan mogok terhadap APAD yang boleh menjatuhkan kredibiliti institusi tersebut.

Di samping itu, jika terdapat sesetengah pemandu yang masih berdegil mahu beroperasi tanpa lesen akan mengundang pelbagai risiko. Kegagalan pihak APAD memperbaharui lesen bas sekolah pula akan menyebabkan kekalutan kepada golongan ibu bapa kerana anak-anak mereka yang menaiki bas sekolah tersebut akan menghadapi risiko keselamatan dan juga masalah pengangkutan ke sekolah yang akhirnya akan menyebabkan gangguan kepada ibu bapa seperti kelewatan ataupun terpaksa ‘ponteng’ kerja hanya semata-mata untuk menghantar dan menjemput anak di sekolah.

Kanak-kanak yang menaiki bas sekolah juga akan terjejas dan berdepan dengan risiko keselamatan serta masalah pengangkutan ke sekolah

Oleh yang demikian, sebelum keadaan menjadi parah adalah disarankan supaya pihak kerajaan mengambil inisiatif dan mempunyai pelan serta cadangan untuk menyelesaikan isu permit bagi mengelakkan masalah ini daripada berulang kembali. Pihak Kementerian Pengangkutan perlu mengkaji semula standard operation procedure (SOP) pembaharuan permit ini agar memudahkan semua pemilik syarikat bas terlibat. Selain itu, pihak kerajaan juga perlu menyediakan mekanisme yang terbaik bagi memudahkan pihak pengusaha bas membuat perancangan awal untuk memperbaharui permit mereka demi melancarkan proses pembaharuan permit.

Kesimpulannya, masalah pengangkutan bas di negara ini amat perlu diambil berat oleh semua pihak yang terbabit. Sekiranya perkara ini masih terus disembunyikan tanpa sebarang tindakan, dibimbangi hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan bas sebagai salah satu pengangkutan awam yang utama di negara ini akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih. Pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap ‘sudah terhantuk baru terngadah’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here