Revolusi Industri 4.0 sudah menjadi satu topik global yang hangat diperkatakan sejak ia diperkenalkan oleh warga Jerman pada 2011. Terdapat terlalu banyak definisi mengenainya dan ia boleh menjadi sukar bagi orang biasa untuk memahami maksudnya yang sebenar. Revolusi Industri 4.0 yang akan menekankan pembinaan teknologi realiti maya tanpa banyak menggunakan tenaga manusia sudah pasti memberikan kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan.

Revolusi Industri 4.0 adalah istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada proses pembangunan dalam industri pengeluaran dan automasi  ke tahap lebih pintar dari yang sedia ada dengan teknologi yang lebih sesuai dan fleksibel. Ini bermakna mesin akan beroperasi secara bebas, atau bekerjasama dengan manusia. Mesin akan beroperasi secara autonomi iaitu menjadi entiti bebas yang akan mengumpul data dan menganalisa.

Sudah pasti ramai pekerja yang akan kehilangan pekerjaan selepas ini

Walau bagaimanapun, timbul pula persoalan adakah Revolusi Industri 4.0 penting serta kelebihannya jika dilaksanakan di Malaysia. Dalam sektor industri perladangan dan komoditi seperti minyak sawit, getah, kayu, koko atau lada misalnya, ia boleh digunakan secara meluas, lebih daripada jangkaan kita. Sebagai contohnya adalah minyak sawit, kita boleh bayangkan bahawa dengan penderiaan yang digunakan bersama sistem melalui rangkaian komunikasi komputer, kita boleh mengesan produktiviti setiap pokok, bukan setakat setiap plot atau sebuah estet.

Kita juga boleh mengetahui tahap tekanan bagi setiap pohon sawit yang disebabkan cuaca kering atau hujan yang berpanjangan serta tindakan diperlukan seperti pengairan, pembajaan dan penggunaan racun perosak. Ini akan memberi kesan langsung kepada hasil buah tandan segar (FFB).

Namun, disebaliknya kita juga perlu memikirkan tentang kesan-kesan yang akan dihadapi oleh masyarakat dan sudah pasti revolusi ini akan menjadi satu jajahan baharu sekiranya usahawan terutama dalam kalangan belia gagal menguruskan risiko ini. Hal ini kerana Revolusi industri generasi ke-4 ini ditandai dengan kemunculan superkomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, pengubahsuaian genetik dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan manusia untuk lebih optimumkan fungsi otak.

Dalam konteks alaf Revolusi Industri 4.0, keusahawanan bukan sahaja semata-mata menceburkan diri dalam perniagaan. Walaupun perniagaan merupakan sumber pendapatan yang terbaik, namun begitu para peniaga tidak mempunyai sebarang jaminan bahawa perniagaan yang mereka jalankan pasti akan berjaya. Sekiranya anda tiada kemampuan untuk memiliki barangan yang berteknologi tinggi, sudah pasti ia akan memberikan kesan kepada perniagaan yang sedang dijalankan oleh kerana anda terpaksa bersaing dengan pengusaha-pengusaha besar di dalam negara ini.

Revolusi Industri 4.0 yang akan meminimakan tenaga manusia

Justeru itu, kewujudan Revolusi Industri 4.0 semangnya akan menjadi satu ancaman kepada masyarakat kita. Ia juga akan menutup ruang kepada anak-anak muda atau para penganggur di luar sana untuk mendapatkan pekerjaan. Pihak kerajaan perlu memikirkan alternatif lain supaya kemunculan Revolusi Industri 4.0 ke Malaysia tidak menggugat mana-mana pihak malah akan memberi banyak manfaat kepada negara kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here