Dari surah al-Baqarah, ayat 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.

Ayat di atas sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya untuk setiap manusia terutamanya umat Islam agar sentiasa menitikberatkan pemilihan makanan yang bersih dan halal. Malangnya, kini terlalu banyak restoran-restoran di negara ini yang masih tidak mempunyai sijil halal yang sah daripada JAKIM dan tumbuh melata bak ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

‘Verify Halal’, aplikasi dari JAKIM yang memudahkan pengguna beragama menyemak status halal sesebuah produk

Senario ini cukup membimbangkan apatah lagi ia melibatkan kemaslahatan generasi belia Islam yang dilihat masih belum arif untuk membezakan antara makanan halal seperti yang digariskan di dalam panduan syarak dan makanan trend terkini. Hal ini kerana mereka lebih mementingkan gaya arus perdana daripada menitikberatkan bab halal dan haram dalam soal pemakanan.

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan bagi setiap rakyat negara ini baik Muslim dan bukan Muslim untuk mengetahui kepentingan halalnya sesuatu makanan terhadap tubuh manusia. Bagi seorang Muslim, mereka haruslah meneliti tentang keadaan sesebuah restoran, produk dan tempat penginapan berada dalam status halal. Kini terdapat aplikasi ‘Verify Halal’ dan ‘Halal Malaysian Portal’ dari JAKIM untuk memudahkan para pengguna khususnya umat Islam mengenalpasti status halal sah sesuatu benda.

Golongan bukan Muslim harus diberikan penerangan lebih mendalam mengenai isu makanan halal bukan tergantung pada logo ‘PORK FREE’ sahaja

Bagi golongan bukan Muslim, sekiranya mereka mempunyai niat untuk menceburi bidang makanan atau perkhidmatan berunsurkan patuh syariah, mereka haruslah memahami terlebih dahulu tentang konsep halal dan haram sesuatu perkara. Kini terdapat pelbagai cara dan kaedah rujukan yang disediakan oleh pihak JAKIM kepada golongan berikut agar mereka lebih memahami konsep halal serta kebersihan secara mendalam dan bukan hanya sekadar menggantung tanda “PORK FREE”.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia seharusnya mempunyai kesedaran di dalam konsep pemilihan makanan yang halal dan bersih. Bukan hanya sekadar tuntutan agama, ia juga terkait rapat dengan faktor kesihatan diri. Oleh itu, mereka haruslah mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dalam penyediaan tempat makan dan juga perkhidmatan yang halal dan tidak halal. Ini termasuklah dengan perkhidmatan makanan atas talian yang seperti diketahui semakin hari mendapat sambutan daripada kalangan rakyat negara ini.

Dalam hal ini, kerajaan dan JAKIM disarankan supaya menyediakan satu platform informasi berkenaan isu halal dan haram agar dapat memberi kefahaman secara mendalam terhadap rakyat Malaysia mengenai kepentingan memilih makanan yang halal dan bersih. Platform ini juga haruslah disediakan secara teliti beserta nama individu yang berpengalaman dalam soal ini agar memudahkan golongan bukan Muslim membuat rujukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here