Pada 9 April lalu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menerusi Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching mengumumkan bahawa ujian MUET tetap akan diteruskan kepada para pelajar sebagai pra syarat kepada permohonan kemasukan mereka ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi mengikuti pengajian ijazah pertama. Apa itu sebenarnya MUET? MUET atau Malaysian University English Test adalah sebuah ujian bahasa Inggeris yang dijalankan di peringkat pra-universiti, matrikulasi, asasi, diploma, dan STPM. Ia diwujudkan kepada para bakal pelajar di Malaysia sebagai pra syarat untuk memasuki ke IPT di seluruh negara.

Terdapat empat jenis komponen yang terkandung di dalam peperiksaan MUET dan antaranya adalah ujian pendengaran yang memperuntukkan 30 minit masa menjawab dan markah penuh 45, ujian lisan selama 30 minit dan markah penuh 45 dan ujian pemahaman serta ujian penulisan yang memperuntukkan masa 90 minit untuk menjawab dan markah penuh bagi kedua-dua ujian tersebut adalah 120 dan 90. Penilaian para pelajar akan ditentukan melalui band satu sehingga enam di mana band satu menunjukkan pengetahuan calon terhadap MUET adalah terhad dan band enam adalah yang sangat bagus.

Terdapat empat komponen yang terkandung di dalam peperiksaan MUET yang harus dilalui oleh calon-calon

Tujuan utama peperiksaan MUET diperkenalkan adalah untuk mengukur tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan juga untuk mereka yang bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Ini kerana ujian ini sejajar dengan tujuan MUET yang diperkenalkan pada 1999 iaitu bagi mengisi jurang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua pada peringkat pra universiti serta memperkukuh dan mempertingkat kebolehan bahasa Inggeris pelajar.

Jika dilihat, pra syarat yang dikenakan melalui ujian MUET masih lagi memadai buat para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di IPT pada masa ini. Namun, ia bergantung kepada pihak KPM untuk meminda semula pra syarat tersebut bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang berkualiti dan dapat menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris dengan tuntas kerana keperluan pasaran karier pada hari ini memerlukan calon-calon yang dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Universiti berkualiti bukanlah persoalannya, apa yang diutamakan kualiti pelajaran yang diterima dan bagaimana pelajar mengimplimentasikannya melalui peperiksaan ini.

Dalam hal ini, pelaksanaan yang diteruskan oleh pihak KPM terhadap pra syarat kemasukan IPT di Malaysia menerusi peperiksaan MUET dilihat tidak memberikan tekanan yang sangat berat kepada para pelajar. Ini kerana kebanyakan program MUET telah disediakan di seluruh sekolah-sekolah dan juga IPT-IPT di seluruh Malaysia. Jadi, para pelajar tidak mempunyai masalah dari segi pembelajaran dan juga panduan dalam menjawab peperiksaan ini kerana para tenaga pengajar akan memberikan tutorial sepenuhnya tentang teknik menjawab peperiksaan tersebut.

Peperiksaan MUET menjadi kayu pengukur kepada kualiti pelajar-pelajar di Malaysia

Malah, ada sebahagian daripada sekolah-sekolah dan IPT-IPT yang menyediakan kelas percubaan untuk menjawab peperiksaan MUET. Ini bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang suasana di dalam dewan peperiksaan MUET tersebut. Sekiranya ada tekanan, mungkin ia akan melibatkan calon persendirian di mana mereka perlu mencari kelas tutorial dan juga pusat pengambilan peperiksaan sendiri. Mereka juga mungkin tidak mempunyai masa untuk melakukan ulangkaji dan cuma berharap kepada buku panduan sahaja.

MUET merupakan satu peperiksaan pra syarat yang menjadi kayu pengukur kepada kualiti para pelajar di Malaysia. Ini kerana kehendak pasaran karier global pada masa kini yang memerlukan seseorang yang serba boleh dari segi penguasaan bahasa global khususnya bahasa Inggeris. Sekiranya pelajar-pelajar Malaysia dapat menguasainya, sudah pasti ia akan membuka mata para majikan dalam kalangan syarikat berstatus antarabangsa untuk mengambil mereka sebagai salah seorang pekerja berikutan kebolehan mereka dari segi penguasaan bahasa.

Justeru, pra syarat ini sangat penting dalam menentukan masa hadapan anak-anak bangsa sama ada mereka akan memperolehi pembelajaran yang bagus seterusnya mengembangkan lagi sayap pengetahuan mereka dalam kebolehan menguasai pelbagai bahasa untuk kegunaan di peringkat global. Siapa tahu, mungkin dengan pra syarat ini, negara telah melahirkan seorang pakar bahasa yang menguasai bahasa asing selain daripada bahasa ibundanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here