Sejak kebelakangan ini, ramai pihak telah menyalahgunakan internet untuk melakukan perkara tidak berfaedah seperti menyebarkan video lucah demi kepentingan sendiri atau sengaja mengaibkan orang lain. Penyebaran video lucah ini juga sering melibatkan ahli-ahli politik untuk membunuh karier politik satu sama lain hingga menunjukkan budaya politik kotor masih lagi bermain dalam negara ini.

Penyebaran video semburit yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali baru-baru ini bukanlah kes terbaru melibatkan ahli politik kerana sebelum ini video lucah melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Presiden MCA, Tan Sri Chua Soi Lek dan bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali juga pernah disebarkan untuk menjatuhkan reputasi mereka dalam arena politik.

Kesan daripada ‘permainan’ politik pihak tidak bertanggungjawab ini telah menunjukkan negara ini masih jauh lagi untuk mengamalkan budaya politik bersih kerana kes penyebaran video lucah di media sosial ini tetap berlaku. Ia juga telah memberi persepsi kepada rakyat tentang betapa kotornya politik negara ini hingga mahu mengaibkan satu sama lain.

Budaya politik kotor penyebaran video lucah sebegini boleh beri kesan buruk kepada generasi muda

Selain itu, penyebaran video lucah yang melibatkan ahli politik ini telah tersebar hingga mendapat perhatian media asing dan diterbitkan dalam portal media negara luar. Malah, ada pihak sengaja memuat naik video lucah tersebut ke dalam laman porno untuk memalukan lagi mangsa sedangkan mereka tidak tahu ia telah memburukkan lagi nama Malaysia di mata negara asing.

Oleh kerana itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran keras kepada semua pihak untuk tidak memuat naik, menyebar atau berkongsi kandungan lucah di internet. Mana-mana pelaku yang melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikenakan penjara selama setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Amaran daripada SKMM itu menunjukkan semua pihak perlu mempunyai tanggungjawab untuk tidak melakukan sebarang penularan video lucah di media sosial bagi mengelakkan ianya menjadi budaya kepada rakyat Malaysia. Undang-undang daripada SKMM itu perlu diperketatkan dengan memberi hukuman yang lebih berat seperti penjara maksimum 10 tahun atau denda sekurang-kurangnya RM150,000. Ia perlu dijadikan pengajaran kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut supaya tidak diulangi kelak.

SKMM perlu memperketatkan undang-undang untuk menghalang perkara ini menjadi budaya kita

Malah, sangat penting untuk pihak SKMM dan PDRM membuat pemantauan yang lebih banyak untuk mengesan IP address mana-mana individu memuat naik video lucah di media sosial supaya mereka dapat ditangkap dengan segera.  Ianya dapat mengelakkan lebih banyak lagi kandungan lucah muncul dalam media sosial hingga boleh memberi kesan kepada generasi muda.

Justeru, pihak kerajaan dan rakyat Malaysia perlu melihat isu ini dengan lebih berat kerana ianya boleh memberi kesan buruk kepada negara. Ini kerana negara ini tidak mempunyai tempat untuk permainan politik kotor dengan penyebaran video lucah kerana perbuatan mereka itu boleh mempengaruhi pemikiran rakyat. Penularan video lucah di media sosial perlu diklasifikasikan sebagai jenayah siber dan individu yang melakukan perkara tersebut harus ditangkap dengan segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here