Baru-baru ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Aziz Harun berkata usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Julai ini. Pembentangan usul itu yang dijadualkan pada 4 Julai bertujuan membolehkan mereka yang berumur 18 tahun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Sekiranya diluluskan, lebih ramai golongan belia dan pelajar institusi pendidikan tinggi, termasuk di politeknik layak mengundi pada pilihan raya akan datang.

Mungkin ramai yang berpendapat langkah kerajaan menurunkan had umur tersebut tidak wajar kerana mereka beranggapan golongan muda sebegini dilihat masih belum matang dan tidak berminat dengan politik. Namun tanggapan yang dilontarkan itu dilihat tidak relevan bagi golongan muda pada masa kini kerana pastinya ramai di antara mereka sudah matang dan banyak terdedah dengan situasi semasa yang mana mereka ini antara golongan yang paling aktif menggunakan media sosial. Dari situ, mereka sudah mulai terdedah dengan keadaan politik semasa dan sudah pastinya dengan kecanggihan alat elektronik serta persekitaran moden mampu mempengaruhi pemikiran golongan muda sekaligus menjadikan mereka kumpulan sasaran yang matang berfikir.

Usul turunkan had umur mengundi di bawa ke Parlimen Julai ini

Antara manifesto yang digubal oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Malaysia adalah dengan menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerana beliau melihat kemenangan besar yang diperolehi oleh PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu adalah kerana kesedaran politik yang ditunjukkan oleh golongan muda di negara ini.

Malah langkah ini adalah sangat bertepatan dengan pendekatan negara Malaysia yang mengamalkan prinsip demokrasi. Hal ini sekaligus memberi kuasa kepada golongan muda untuk memilih dan menilai parti politik yang bakal mentadbir negara ini. Jika kita lihat, sudah ada beberapa negara luar yang lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Thailand dan Filipina yang telah membenarkan pengundi mereka berdaftar seawal 18 tahun kerana diusia tersebut, seseorang itu sudah dianggap dewasa serta mampu membuat pertimbangan yang wajar.

Golongan muda yang berumur 18 tahun wajar dapat hak mengundi

Justeru, terdapat kesan positif akibat penurunan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun antaranya adalah ia memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai dunia politik kerana golongan ini akan menjadi penentu masa hadapan negara pada hari esok. Jika mereka tidak dididik dengan betul mengenai dunia politik, kehancuran sesebuah negara bakal berlaku di atas tangan mereka. Namun begitu, terdapat beberapa kesan buruk antaranya golongan muda pada hari ini dilihat sangat agresif dalam melakukan sesuatu hal, ini termasuklah dalam membuat keputusan. Ini kerana mereka sangat mudah terpengaruh dengan dakyah serta agenda yang dibawa oleh pihak-pihak yang berkepentingan di dalam bidang politik. Mereka menganggap bahawa golongan ini mudah didekati dan senang untuk membuat keputusan dengan cepat tanpa perlu memikirkan baik serta buruknya.

Oleh itu, dalam hal ini, kerajaan seharusnya mengkaji semula penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun bagi memastikan ia memberi kebaikan kepada semua untuk mengundi pada pilihan raya nanti. Jadi marilah kita bersama-sama menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab dan segeralah mendaftar untuk menjamin hak sebagai seorang pemilih serta mengelakkan diri daripada tidak layak mengundi pada pilihan raya akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here