Keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baru dan akan menutup beberapa syarikat yang kononnya tidak strategik adalah satu perkembangan yang sangat membimbangkan. Satu isu yang perlu diberi perhatian serius kerana bangsa Melayu dan MARA saling berkait rapat.

Sebelum ini pernah timbul isu bahawa ada segelintir pihak yang mahu pelaksanaan hak sama rata. Namun hak bangsa Melayu masih lagi mampu bertahan kerana bangsa kita masih lagi tertakluk dengan keistimewaan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Antara lot kedai milik MARA

Namun keputusan untuk menutup anak syarikat MARA seolah-olah seperti ada usaha untuk menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan secara sistematik dan tersembunyi, walaupun tanpa menghapusnya secara terang-terangan. Penutupan anak-anak syarikat MARA kerana dikatakan mengalami kerugian seperti mengkhianati agenda Bumiputera dan ia wajar dikaji semula.

Sasaran utama penubuhan MARA bukanlah bermotifkan keuntungan. Ia adalah bagi membantu golongan Bumiputera dan kaum Melayu dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Ada anak syarikat MARA yang berfungsi untuk membeli lot-lot kedai di kompleks membeli-belah dan menyewakan semula kepada usahawa-usahawan baru MARA dengan kadar yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Maka, usahawan-usahawan ini mampu untuk menyewa di kompleks perniagaan yang strategik.

Bas Mara Liner yang menjadi sistem pengangkutan utama penduduk luar bandar

Begitu juga dengan perkhidmatan bas MARALiner yang sebelum ini dikenali sebagai bas RIDA yang telah memulakan operasi pada tahun 1960. Ia telah banyak memberikan perkhidmatan kepada penduduk-penduduk FELDA. Malah, bagi penduduk luar bandar, perkhidmatan bas MARA ini yang membantu untuk menghubungkan mereka dengan penduduk bandar.

Penutupan anak syarikat MARA atas faktor kerugian adalah satu keputusan yang dilihat merugikan bangsa Melayu. Kenapa tidak dilakukan perbincangan meja bulat bagi memperbetul dan memperbaiki mana-mana kepincangan yang rosak. Anak-anak syarikat ini masih boleh ‘diselamatkan’ jika adanya transformasi di dalam pentadbiran MARA. MARA adalah milik Melayu, maka kenapa mesti dikorbankan?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here