Penyakit polio adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus polio. Virus ini akan menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Sekiranya kegagalan pernafasan berlaku, ia boleh membawa maut kepada manusia.

Satu kes virus polio telah melibatkan seorang bayi lelaki di Tuaran, Sabah

Kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992, dan sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio. Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit ini, kini ia muncul kembali apabila satu kes yang melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah yang telah mengalami demam diikuti dengan lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital.

Hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus tersebut mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina.

Virus ini akan menyerang sistem saraf manusia sehingga menyebabkan kecacatan

Namun, kebanyakan orang yang dijangkiti virus polio tidak akan menunjukkan sebarang gejala. Hanya 1 daripada 4 orang dengan jangkitan virus polio akan mengalami gejala demam selesema. Gejala ini biasanya dialami selama dua hingga lima hari dan kemudian sembuh dengan sendiri tanpa sebarang komplikasi. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil kes akan mengalami gejala lebih serius akibat jangkitan pada otak dan saraf tunjang seperti kebas, lumpuh dan juga kematian.

Terdapat beberapa punca yang memudahkan seseorang itu menghidap penyakit polio antaranya kerana tidak menggunakan bekalan air yang bersih, tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas membuang air besar atau selepas menukar lampin bayi dan mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.

Justeru itu, rakyat diseru supaya lebih berhati-hati dengan kehadiran semula virus polio di dalam negara kita. Selain dengan sentiasa menjaga kebersihan, kita juga perlu sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat supaya diri kita tidak mudah untuk dijangkiti sebarang penyakit termasuk penyakit-penyakit yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here