Penyakit anjing gila atau rabies adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus dari haiwan seperti anjing yang dijangkiti virus tersebut. Virus rabies terdapat dalam air liur haiwan dan boleh dijangkiti melalui gigitan atau sebarang kejadian yang menembusi kulit seperti jilatan haiwan di tempat luka. Penyakit ini adalah sejenis penyakit akut yang menyebabkan radang (inflamasi) pada otak dan korda spina (ensefalomielitis) hingga boleh membawa maut.

Menurut informasi melalui MyHealth, tanda-tanda awal termasuk rasa bimbang, sakit kepala, demam, lesu dan perubahan deria di sekitar tempat gigitan. Selain daripada itu, seseorang yang terkena jangkitan ini mudah terangsang, berhalusinasi dan berasa takut pada tiupan angin (aerophobia). Sesetengahnya pula berasa gerun atau bencikan air (hidrofobia) disebabkan kekejangan otot kerongkong yang sakit ketika menelan. Apabila memasuki peringkat seterusnya, pesakit menjadi celaru, mengalami sawan sehingga boleh membawa maut.

Luka yang disebabkan gigitan anjing rabies perlu dirawat dengan segera

Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan jangkitan penyakit anjing gila ini antaranya program vaksin dan kawalan haiwan mengurangkan risiko terkena jangkitan penyakit anjing gila di kebanyakan kawasan di dunia. Bagi pesakit yang terkena jangkitan ini, vaksin anjing gila dan imunoglobulin sangat efektif dalam melawan virus ini jika pesakit tersebut menerima rawatan sebelum simptom penyakit ini bermula. Selain itu, kita juga perlulah sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas bersentuhan dengan anjing peliharaan. Di samping itu, pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bergaul dengan haiwan liar. Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif, segera dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada berita Utusan Borneo Online yang diterbitkan pada 17 Disember 2018 bertajuk “Mangsa rabies Indonesia mati di Kuching”. KKM mengesahkan bahawa kes ini adalah warga Indonesia yang telah digigit oleh anjing peliharaannya di negara asalnya. Notifikasi kes ini kepada Kementerian Kesihatan Indonesia telah dibuat melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point Malaysia-Indonesia.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa sejak rabies diisytiharkan wabak di Sarawak pada 30 Jun tahun lalu sehingga 21 Ogos 2018, sebanyak 13 kes dilaporkan dalam kalangan manusia termasuk 12 kematian rabies, dengan kadar kematian 92.3 peratus. Hanya terdapat seorang pesakit yang sudah meninggalkan wad hospital, namun dengan komplikasi neurologi yang teruk dan kini dirawat di rumah.

Justeru itu, bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit anjing gila ini adalah mana-mana individu yang terdedah dengan virus tersebut atau disyaki segera dibawa ke hospital dan melaporkannya ke Klinik Kesihatan Daerah. Selain itu, anjing yang menghidapi penyakit ‘rabies’ harus dibunuh dan diuruskan mengikut ‘standard of operation’ (SOP) yang ditetapkan KKM dan bagi mengelakkan wabak berjangkit, anjing liar lain yang tidak dijangkiti wajar ditangkap dan ditempatkan di kawasan khas serta diasingkan daripada kawasan manusia.

Di samping itu, bagi mereka yang memiliki anjing hendaklah dipastikan anjing berkenaan mendapat imunisasi secukupnya dengan vaksin rabies mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak berautoriti. Diharapkan dengan kerjasama padu semua pihak dalam memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus penyakit anjing gila ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Suntikan vaksin anti rabies terhadap salah seekor anjing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here