Penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat negara kita semakin serius dan tidak dapat dibendung lagi. Hal ini kerana, dadah yang pada asalnya menjadi ubat penahan sakit sebenarnya tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan. Masalah ini timbul apabila manusia menyalahgunakannya untuk kepuasan dan keseronakan diri sendiri.

Dadah dapat didefinisikan sebagai sejenis bahan kimia, sama ada asli atau tiruan, apabila dimasukkan ke dalam tubuh secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental.

pelajar sekolah juga sudah terjebak dengan gejala dadah

Antara faktor berlakunya penyalahgunaan dadah adalah tekanan daripada masalah yang dihadapi seperti masalah peribadi, keluarga dan kerja. Oleh hal yang demikian, apabila tekanan emosi berlaku secara  keterlaluan, seseorang itu akan mengalami kemurungan sehingga tidak mampu berdepan dengan tekanan tersebut. Akhirnya, sebagai jalan penyelesaian mereka mengambil jalan mudah dengan menjadikan dadah sebagai teman setia yang membolehkan mereka melupakan tekanan yang dihadapi.

Oleh itu, kajian menunjukkan ketagihan dan penyalahgunaan dadah mengundang risiko seperti jangkitan dan penyakit khususnya HIV dan AIDS, hepatitis, sifilis dan lain-lain. Dadah disalahgunakan juga mendatangkan kesan penyakit lain kepada penagih seperti penyakit otak, kemurungan dan kerisauan, gila dan sebagainya.

Sebagai langkah pencegahan, pihak kerajaan perlulah mengadakan kempen anti-dadah dan menyiarkannya melalui media massa. Undang-undang dan hukuman bagi kesalahan penyalahgunaan dadah dan mengedar dadah hendaklah diketatkan lagi bagi mengelakkan masalah ini terus berleluasa. Agensi yang ditubuhkan seperti Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) perlu memperkemaskan jentera mereka memantau bekas penagih agar mereka tidak kembali menagih dadah kembali.

Pihak berkuasa perlu kerap membuat operasi ke sarang penagihan dadah

Justeru itu, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat mahupun kerajaan perlu berganding bahu memerangi gejala penyalahgunaan dadah ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha memerangi dadah kerana dadah adalah musuh utama negara dan dadah juga boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Sebagai pemuda harapan bangsa dan negara, biarlah kita hidup bahagia tanpa dadah. Janganlah disebabkan ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’ kerana negara kita adalah contoh dalam kalangan negara Islam di dunia. Kita tidak mahu masalah penyalahgunaan dadah ini akan mencemarkan nama baik negara yang kita sayangi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here