Bila berbicara soal penyatuan ummah, ternyata ramai yang masih keliru dan tidak memahami apakah sebenarnya konsep penyatuan ummah tersebut. Ramai pihak yang beranggapan bahawa agenda penyatuan ummah ini sebagai salah satu jalan komplot di kalangan kaum Melayu untuk menolak kaum-kaum lain di negara ini dan seterusnya bersifat rasis.

Walau bagaimanapun, kenyataan itu sama sekali tidak tepat. Agenda penyatuan ummah ini boleh digambarkan dengan gabungan seluruh umat Islam di Malaysia tidak kira apa fahaman politik mereka untuk duduk di bawah satu ‘payung’ atas nama kebenaran dan mentadbir negara ini sebagaimana ‘acuan’ yang diterapkan, iaitu konsep keIslaman. Agenda ini mula diperkenalkan oleh blok pembangkang selepas Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) dalam usaha untuk membentuk perikatan bagi menghadapi saingan PRU15. Akan tetapi, ia kini sudah menjadi suatu agenda nasional dalam usaha menyatukan perpaduan dan seterusnya diterima oleh masyarakat majmuk di Malaysia.

Agenda penyatuan ummah diperkenalkan oleh pihak pembangkang sejurus PRU14. Sumber: Umno Online

Jika dilihat pada hari ini, terlalu banyak isu perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia hingga ada yang mengambil jalan untuk hidup secara berpuak-puak. Lebih malang lagi, ada segelintir umat Islam yang sanggup bersekongkol dengan musuh-musuh Islam demi untuk meraih sokongan majoriti.

Mengambil kira contoh parti-parti politik di Malaysia, majoritinya adalah parti-parti yang diasaskan oleh umat Islam. Tetapi lihat, mengapa masih lagi berlakunya perpecahan? Ini disebabkan oleh percanggahan pendapat di kalangan mereka sendiri yang mempunyai agenda-agenda tertentu demi kepentingan peribadi tanpa memikirkan nasib umat Islam lain yang mungkin bakal diancam atau ditindas oleh pihak pelampau sama seperti umat-umat Islam di negara bergolak.

Dalam perkara ini, seharusnya pihak-pihak yang terlibat perlu memikirkan inisiatif untuk menggerakkan usaha agenda penyatuan ummah ini sebagai satu realiti. Semua pihak perlu berganding bahu tidak kira apapun fahaman politik mereka. Kerana apa? Kerana negara ini majoritinya umat Islam, mengamalkan dasar konsep yang berteraskan Islam dan yang paling utama Islam adalah negara rasmi bagi negara ini. Adakah sesuai sekiranya negara ini ditadbir oleh pihak-pihak yang membenci tentang konsep pelaksanaan Islam? Tentu sekali tidak. Maknanya di sini, seharusnya puak majoritilah yang layak untuk memegang tampuk pemerintahan Malaysia.

Agenda penyatuan ummah hari ini menjadi agenda utama nasional

Apakah kebaikan dan kelebihan yang ada sekiranya agenda penyatuan ummah ini berjaya dilaksanakan? Sekiranya agenda ini berjaya dilaksanakan secara universal dan holistik, sudah pasti hak keutamaan bagi umat Islam akan kekal terpelihara dan jauh daripada gangguan musuh yang cuba untuk menjatuhkan pentadbiran Islam di negara ini. Pelaksanaan agenda ini juga memberikan kelebihan kepada pemimpin negara ini untuk menguatkuasakan undang-undang berunsurkan Islami.

Di samping itu, kebaikan daripada pelaksanaan agenda ini boleh dilihat dari segi kesantunan umat Islam dalam melayani golongan bukan Islam. Usaha ini perlu dipertingkatkan lagi demi mencerminkan sisi baik agama Islam dan secara tidak langsung ia memberikan pemahaman secara meluas kepada golongan bukan Islam bahawa agama ini bukanlah suatu perkara yang merumitkan dan tidak menjejaskan perjalanan kehidupan mereka sama sekali.

Justeru, pelaksanaan agenda penyatuan ummah ini harus diteruskan oleh semua umat Islam di Malaysia demi memelihara martabat dan hak keutamaan bagi agama ini. Agenda ini tidak sepatutnya dijadikan bahan polemik politik murahan mana-mana parti politik kerana ia akan menambahkan lagi tanggapan negatif rakyat kepada agama Islam. Oleh itu, semua umat Islam diseru untuk melaksanakan agenda ini secara berhemah agar semua kaum dapat memahami dan menerimanya sekaligus dapat menjadikan negara aman dan harmoni.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here