Siapa kata kaum wanita pada hari ini tidak mempunyai kuasa? Buktinya jelas dengan penganjuran Himpunan Hari Wanita Antarabangsa yang dijalankan pada hari Sabtu yang lalu. Di sebalik perhimpunan yang diadakan, tersirat satu mesej yang jelas menunjukkan peranan wanita masa kini tidak boleh dipandang enteng oleh sesetengah pihak dalam urusan pembangunan serta kemajuan negara.

Jika dahulu, suasananya berbeza di mana kaum wanita dipandang sebagai golongan kelas ketiga. Hal ini kerana, peranan wanita pada ketika itu tidak begitu penting berbanding kaum lelaki. Pada waktu itu, kaum wanita hanya dianggap sebagai suri rumah yang hanya tahu menguruskan hal ehwal rumah tangga sahaja. Berbanding hari ini, peranan wanita kini banyak dilihat di semua sektor tidak kira dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta.

Peranan golongan wanita pada hari ini dilihat lebih menyerlah berbanding kaum lelaki melalui pembangunan serta perpaduan negara

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sebanyak 35.8 peratus atau 1,419 golongan wanita kini dilantik sebagai pegawai kerajaan dan berada dalam peringkat pembuat dasar di dalam sektor awam. Manakala berdasarkan statistik semasa, pegawai wanita adalah kumpulan majoriti iaitu 57.5 peratus dalam perkhidmatan awam yang terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi sehinggalah kepada kumpulan pelaksana dan peratusan ini tidak termasuk polis dan tentera.

Pada hari ini, kaum wanita dilihat telah menguasai sebahagian besar pegangan dalam pelbagai sektor. Peranan kaum wanita dalam meningkatkan ekonomi di negara pada hari ini semakin hari semakin berkembang. Ini kerana kebanyakan daripada mereka menjalankan serta mengusahakan perniagaan sendiri. Sebagai contoh, Dato’ Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dato’ Seri Vida bersama legasi perniagaannya, Vida Beauty Sdn. Bhd.

Selain itu, peranan wanita di dalam bidang pentadbiran negara dan politik juga dilihat semakin berkembang dan mendapat tempat di mata kerajaan. Hal ini bertepatan dengan Dasar Wanita Negara yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan penyertaan golongan ini di dalam sektor kerajaan mengimbangi kaum lelaki. Antara kaum wanita yang telah diberi peluang untuk memegang portfolio dalam kabinet adalah Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia wanita yang pertama dan juga Tan Sri Dato’ Sri Dr. Ungku Zeti Akhtar Aziz yang pernah dilantik sebagai Gabenor Negara dan kini menjadi salah seorang dari ahli Majlis Penasihat Kerajaan.

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail antara wanita pertama yang memegang portfolio kedua tertinggi dalam kerajaan

Dalam hal ini, kerajaan seharusnya mengambil kira semua faktor berkaitan sumbangan golongan wanita di dalam pembangunan serta perpaduan negara. Oleh itu, beberapa langkah harus difikirkan oleh kerajaan dalam memastikan penglibatan kaum wanita dalam pembangunan negara bertambah dan sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan adalah dengan mengenalpasti potensi bakat kepimpinan di kalangan ibu-ibu tunggal melalui pertandingan Usahawanita berjaya. Dengan cara ini, kerajaan boleh membantu mereka bagi memajukan lagi perniagaan mereka seterusnya mengangkat mereka sebagai ikon untuk dijadikan contoh kepada golongan wanita yang lain.

Di samping itu, langkah lain yang boleh diambil oleh kerajaan adalah dengan menilai mereka menerusi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) di kalangan penjawat awam dan swasta. Ini bagi membolehkan mereka meningkatkan lagi prestasi kerja dan seterusnya boleh diangkat sebagai pemimpin sebuah organisasi dan bersaing secara sihat bersama kaum yang berlawanan.

Ironinya, golongan wanita masa kini sudah melangkah setapak ke hadapan berbanding golongan wanita pada masa lalu. Mereka kini lebih berani dan lantang bersuara demi untuk menuntut hak mereka supaya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Mereka tidak meminta untuk menjadi seperti lelaki, tetapi apa yang mereka mahukan adalah peluang sama rata kepada lelaki dan wanita untuk mengakses sumber-sumber negara yang mempunyai nilai-nilai sama dalam masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here