Pada suatu ketika, peranan wanita di Malaysia langsung tidak mendapat perhatian kerana kebanyakan persepsi orang ramai kaum wanita adalah golongan yang lemah. Namun, persepsi tersebut kian berubah seiring dengan peredaran masa di mana semakin banyak kejayaan yang dicapai oleh golongan wanita. Kini, golongan wanita di Malaysia telah memainkan peranan penting serta berupaya menggalas tanggungjawab yang besar dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani dunia.

Hasrat kerajaan yang mahu memperkasakan peranan wanita adalah sesuatu yang wajar diberikan sambutan yang baik kerana wanita masa kini mempunyai banyak bakat, bijak dan berkaliber di mana ia mampu memberikan impak positif kepada masyarakat. Sehubungan itu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk terus berusaha memperkasakan peranan wanita dalam pengurusan risiko bencana bagi memastikan penduduk dilindungi dan mendapat manfaat daripada usaha tersebut.

Selain itu, sejak awal pemerintahan kerajaan PH lagi, telah dinyatakan dengan jelas bahawa kerajaan akan melahirkan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan. Untuk itu, kerajaan telah meletakkan sasaran 30 peratus wanita dalam kabinet dalam tempoh 5 tahun. Pelantikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan beberapa Menteri di kementerian serta Timbalan Menteri wanita, telah membuktikan bahawa kerajaan amat serius dan optimis dalam merealisasikan impian tersebut.

Wanita masa kini lebih berani dan yakin memainkan peranan sebagai pembuat keputusan

Sementara itu, penglibatan beberapa program memperkasa anak muda wanita yang dilaksanakan oleh beberapa pihak dan negeri menunjukkan bahawa ia sebagai langkah awal dalam pemerkasaan golongan wanita pada masa akan datang. Oleh itu, hasrat dan sasaran kerajaan untuk melahirkan wanita sebagai pembuat keputusan dilihat berada di landasan yang tepat untuk dicapai pada masa hadapan.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah bermakna negara kita ketandusan ikon-ikon wanita yang bijak dan berkaliber. Kita selalu sahaja menjadikan kejayaan orang luar sebagai inspirasi namun tidak menyedari bahawa sebenarnya rakyat Malaysia khususnya golongan wanita jauh lebih berjaya dalam pelbagai bidang dan wajar dijadikan contoh oleh generasi sekarang.

Pemerkasaan peranan wanita perlu dilaksanakan seawal usia remaja

Tidak semua orang sedar dan tahu bahawa kita sebenarnya mempunyai beberapa ikon wanita dalam pelbagai bidang yang boleh dijadikan contoh dan ikutan anak muda masa kini. Sebagai contoh, kita mempunyai Dr Amalina Bakri yang dahulu pernah diiktiraf sebagai pelajar terbaik negara kerana berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Kini, beliau telah pun menamatkan pengajian di luar negara serta bergelar sebagai pakar bedah di hospital United Kingdom.

Selain itu, Mejar Patricia Yapp Syau Yin sebagai juruterbang wanita pertama yang mengendalikan pesawat pejuang MiG-29 juga merupakan salah seorang wanita yang wajib dikenali. Antara ikon-ikon wanita lain yang berjaya dilahirkan Malaysia adalah Datuk Nicol Ann David dalam sukan skuasy, Datuk Dr Mazlan Othman sebagai ahli astrofizik dan lain-lain.

Justeru itu, kerajaan perlu meneruskan usaha dalam merencana pelan perancangan dalam memfokuskan agenda memperkasakan peranan wanita bagi membangunkan negara. Oleh itu, kerajaan perlu meningkatkan keterlibatan wanita dalam sektor kerajaan dan swasta dalam memartabatkan peranan wanita dalam pembangunan negara. Untuk itu, kerajaan perlulah beriltizam dan menunjukkan komitmen secara berterusan dalam memastikan tahap pencapaian golongan wanita di negara ini dapat dimajukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here