Isu cermin gelap tidak pernah padam dan seringkali menjadi topik perbualan di kalangan pemilik kenderaan. Baru-baru ini Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan pindaan terbaru bagi peraturan penggunaan cermin gelap ke atas kenderaan motor. Menurut menterinya, Anthony Loke, peraturan baharu ini bakal dikuatkuasakan mulai 8 Mei 2019, tetapi penguatkuasaan terhadapnya hanya akan bermula tiga bulan selepas tarikh ia dikuatkuasakan tersebut. Beliau turut berkata, pindaan yang telah dibuat adalah bertujuan untuk meningkatkan aspek ketelusan dalam proses pertimbangan ke atas permohonan menggunakan cermin yang lebih gelap di samping menyumbang untuk meningkatkan hasil pendapatan kerajaan. Selain itu, ia turut melibatkan perkara-perkara utama iaitu pindaan ke atas VLT menerusi cermin tepi kiri dan kanan penumpang belakang serta cermin belakang. Pada masa ini, peraturan semasa menetapkan bahawa VLT bagi cermin tepi kiri dan kanan penumpang belakang adalah pada kadar 30%.

Kadar ketelusan cahaya tampak bagi bahagian cermin depan dan cermin kiri serta kanan pemandu, masing-masing masih kekal 70 dan 50 peratus seperti peraturan sedia ada. Kebenaran ini hanya bagi kenderaan milik persendirian, tidak termasuk kenderaan yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan. Selain itu, kerajaan akan mengenakan fi RM50 ke atas setiap permohonan atas faktor keselamatan untuk menggunakan cermin gelap sepenuhnya bagi kenderaan persendirian dan fi RM5,000 jika diluluskan, namun tiada caj dikenakan bagi permohonan atas faktor kesihatan. Manakala bagi pemilik kereta persendirian berdaftar sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing diberikan kelonggaran untuk tidak menukar kategori kenderaan persendirian kepada AH (e-hailing persendirian) dan peraturan baharu cermin gelap ini turut boleh digunapakai oleh pemandu perkhidmatan e-hailing.

Kadar baharu ketelusan cahaya yang ditetapkan

Rata-rata rakyat berkeras mahu penguatkuasaan cermin gelap kereta dilaksanakan kerana penggunaan cermin gelap ini perlu sebagai penapis haba dan mengelakkan kesilauan pada mata pada waktu panas. Malah terdapat juga sesetengah pemilik kenderaan yang memasang cermin gelap ini bagi menjadikan kereta kepunyaan mereka tampil lebih bergaya. Walau bagaimanapun, sesetengah pihak tidak bersetuju penggunaan cermin gelap dilaksanakan kerana ia akan menyebabkan bahaya kepada pemanduan dan keselamatan di jalan raya terutamanya sewaktu hujan lebat dan pada waktu malam khususnya di tempat-tempat yang tidak mempunyai lampu jalan sehingga boleh mengakibatkan kemalangan. Selain itu, terdapat segelintir pihak polis tidak bersetuju peraturan baru mengenai penggunaan cermin gelap kenderaan persendirian yang akan menyukarkan tugas pasukan penguatkuasaan mengesan kesalahan-kesalahan kecil seperti menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Pindaan Peraturan Penggunaan Lapisan Filem Atau Cermin Gelap Ke Atas Kenderaan Motor

Pemasangan cermin gelap dapat mengelakkan bahang dan sinaran cahaya matahari daripada menembusi tingkap kereta. Dengan cuaca yang sangat panas, adalah mustahil kita berasa selesa di dalam kenderaan tanpa cermin gelap. Sudah pasti penumpang-penumpang dibelakang terasa bahang. Selain lelaki, ramai pemandu wanita yang memilih untuk menggunakan cermin gelap di atas faktor keselamatan diri mereka. Ini disebabkan, golongan wanita mudah menjadi mangsa jenayah sekiranya diri mereka mudah dilihat terutamanya apabila memandu bersendirian. Oleh itu, diharapkan pengguna jalan raya menggunakan cermin gelap tetapi mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh undang-undang. Pengguna juga perlu jujur bahawa peraturan cermin gelap ini lebih penting kepada keselamatan jalan raya dan keselamatan awam berbanding isu kepanasan atau privasi diri. Hakikatnya berada di jalan raya bukan tempat privasi kita, ia adalah tempat awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here