Malaysia merupakan antara Negara yang sedang pesat membangun dari segi ekonomi, politik dan sebagainya. Pembangunan ini sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat. Walau bagaimanapun, media massa sering memaparkan kehidupan segelintir warga emas yang malang dan tidak terbela pada hari ini.

Warga emas didefinisikan menerusi had umur tertentu berdasarkan kepada budaya masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan warga emas adalah individu yang berusia 60 tahun ke atas mengikut ketetapan Persidangan Antarabangsa mengenai Warga Tua di Vienna pada tahun 1982. Had umur ini digunakan sebagai rujukan had umur warga emas dalam polisi dan dasar untuk kesejahteraan warga emas di Malaysia.

Beginilah nasib warga emas yang tidak diberikan perhatian dan di abaikan

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, golongan warga emas sudah melebihi 2.2 juta orang atau 7.7 peratus daripada 28.3 juta penduduk Malaysia. Mereka merupakan golongan minoriti yang tidak diperdulikan hak dan keperluan hidup oleh keluarga atau masyarakat sekelilingnya. Warga emas yang terabai ini didapati hidup sebagai gelandangan di jalanan, tinggal bersendirian dalam kedaifan, terlantar di hospital tanpa waris yang datang melawat dan mengidap penyakit kronik tanpa rawatan dan penjagaan yang sempurna.

Oleh itu, pengabaian warga emas boleh berlaku dalam semua lapisan masyarakat samada golongan kaya ataupun miskin, profesional ataupun sebaliknya yang mana mungkin caranya sahaja yang berbeza. Faktor pertama yang mendorong masalah ini berlaku adalah kerana masalah kewangan. Warga emas yang tidak mempunyai wang simpanan di hari tua akan membuatkan mereka tidak mampu menguruskan kehidupan dengan baik apabila di usia tua danĀ  tidak lagi berupaya bekerja kuat mencari nafkah. Ramai di kalangan mereka yang telah hidup secara terbiar sehingga menjadi kutu rayau dan pengemis.

Pelbagai langkah boleh diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini antaranya pihak-pihak kerajaan dan bukan kerajaan seharusnya memberi mereka lebih banyak insentif dalam menjalani kehidupan harian. Bantuan boleh dihulurkan kepada golongan ini bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka. Maka, langkah ini sedikit sebanyak mampu memberi keselesaan hidup kepada warga emas ini. Skim mesra usia emas merupakan salah satu contoh inisiatif yang menghargai dan menjaga kebajikan golongan warga emas.

Selain itu, langkah-langkah lain yang boleh diambil seprti kerajaan harus menyediakan lebih banyak rumah khas untuk untuk menempatkan warga emas yang malang dan tidak terbela ini supaya kehidupan mereka lebih terjamin. Rumah yang dibina mestilah sesuai dengan mereka yang memerlukan kawasan yang luas, berhampiran taman, laut atau dilengkapi kemudahan kesihatan yang lengkap.

Hormatilah warga emas seperti kita mennyayangi orang tua kita

Justeru itu, masyarakat muda juga seharusnya lebih menyayangi dan menghormati warga emas ini agar dapat membantu mereka dalam kehidupan harian. Walaupun terdapat banyak pusat jagaan di negara kita, kemudahan ini bukan bermakna langkah terbaik menyelesaikan masalah pengabaian warga emas oleh keluarga. Pihak kerajaan juga boleh menggalakkan lagi wakil rakyat supaya membantu keluarga yang menghadapi masalah kurang sokongan sosial untuk menjaga warga emas melalui kempen galakan khidmat sukarela dan mengadakan akta menjaga ibu bapa supaya mereka tidak diabaikan oleh anak-anak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here