Kerajaan Kelantan mengusulkan cadangan untuk melaksanakan perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun. Cadangan ini telah dikemukakan pada November 2018. Reaksi yang pelbagai diterima. Terdapat segelintir pihak yang menyokong, malahan ada juga yang sebaliknya. Walaupun tidak mendapat kata putus sepenuhnya, namun Kerajaan Persekutuan melalui pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti sudah menunjukkan ‘minat’ untuk melaksanakan cadangan baharu ini bagi mengelak masalah sosial di kalangan remaja.

Kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak berusia remaja pastinya bersetuju perintah berkurung dikenakan kepada golongan berusia demikian bagi mengelak mereka daripada terjebak dengan gejala sosial. Cadangan ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ianya beberapa kali telah dikemukakan oleh persatuan ibu bapa dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain. Namun, bukan semua pihak bersedia melaksanakannya. Pada masa ini, hanya kerajaan negeri Kelantan yang bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun.

Perintah berkurung yang dicadangkan oleh kerajaan mampu menangani masalah sosial di kalangan remaja

Setakat ini hanya tujuh buah negara yang melaksanakan perintah berkurung bagi remaja antaranya ialah Amerika Syarikat, Australia, Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom. Jika Malaysia mahu cadangan ini dilaksanakan, perintah berkurung remaja di Iceland mungkin boleh dikaji kerana dilaporkan membawa kepada penurunan masalah sosial dalam kalangan belia.

Melalui Akta Perlindungan Kanak-Kanak Iceland 2002, kanak-kanak berumur 12 tahun atau ke bawah tidak boleh berada di luar rumah selepas 8 malam melainkan ditemani seorang dewasa. Manakala bagi remaja berumur 13 hingga 16 tahun, tidak dibenarkan berada di luar rumah selepas 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada program anjuran sekolah, organisasi sukan atau kelab belia. Jika kanak-kanak atau remaja berkenaan melanggar perintah berkurung itu, mereka akan dibawa ke balai polis di mana ibu bapa mereka perlu membawa mereka pulang. Ibu bapa di sana akan bergilir melakukan rondaan ketika perintah berkurung dilaksanakan. Ketika ini, Iceland mendahului di dalam senarai remaja paling berkelakuan baik di Eropah.

Paling mengujakan apabila peratusan remaja 15 dan 16 tahun yang minum arak berkurangan daripada 42 peratus pada 1998 kepada 5 peratus pada 2018. Malahan peratusan remaja merokok juga mengalami penurunan yang mendadak daripada 23 peratus kepada 3 peratus.

Wakil UNICEF Malaysia, Marianne Clark-Hattingh memaklumkan langkah ini hanya memberi beban tambahan kepada remaja

Walau bagaimanapun, cadangan ini masih lagi mendapat tentangan daripada UNICEF Malaysia dan NGO Sisters In Islam. Kedua-dua pihak ini menyatakan bahawa cadangan Kelantan itu bukan sahaja menjadikan sasaran yang tidak adil dan menghukum remaja, malah menjadi kesalahan kepada orang dewasa kerana melakukannya. Bagi UNICEF, langkah ini hanya memberi beban tambahan kepada remaja.

Jika dikaji dan diteliti, cadangan ini lebih banyak mendatangkan manfaat dan impak yang positif berbanding negatif. Hasil kajian Pertubuhan Kebajikan, Ekonomi dan Sosial Islam menunjukkan terdapat 90 peratus remaja berusia antara 15 hingga 20 tahun tidak mempunyai hala tuju dalam kehidupan. Seramai 73 peratus remaja pada usia yang sama mengaku ibu bapa tidak mengambil tahu kehidupan anak mereka. Oleh itu, cadangan kerajaan untuk melaksanakan dasar ini mungkin akan memberi impak yang positif pada perkembangan sosial masyarakat.

Demi kebaikan pada perkembangan sosial dan masa hadapan negara yang ditentukan oleh generasi muda, langkah ini wajar diketengahkan secara berperingkat. Ianya juga sebagai salah satu cara pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak. Perintah berkurung ini bukanlah bertujuan untuk menghukum atau mengurung, sebaliknya adalah sebagai didikan kepada golongan bawah umur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here