Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua kerajaan yang dijemput untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa kali ketiga mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) pada 17-19 Januari 2019 bertemakan ‘’Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman (Emergence, Private Sector and Inclusiveness). Pada persidangan berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan pandangannya dengan memberikan pelbagai panduan mengenai bagaimana hendak memajukan sesebuah negara, dengan memberikan contoh-contoh dari Malaysia sendiri. Menurut beliau, satu perkara dalam memajukan sesebuah negara ialah negara perlu mengkaji kemajuan yang telah dicapai oleh negara lain. Dalam kes Malaysia, negara mempunyai Dasar Pandang Timur untuk belajar dari Jepun, Korea Selatan selain China.

Dalam perbincangan antara beliau dengan Presiden Sall, beliau memfokuskan kepada usaha-usaha merapatkan hubungan antara Kuala Lumpur dan Dakar. Malaysia perlu mempunyai hubungan lebih erat bukan sahaja dengan Senegal tetapi juga negara-negara Afrika yang lain kerana buat hampir 15 tahun Malaysia kurang memberi perhatian kepada Afrika di bawah pentadbiran terdahulu. Afrika telah banyak mencapai kemajuan dengan negara-negara seperti China dan Turki menjadi rakan dagangan dan pelaburan mereka yang penting. Ini menunjukkan bahawa Afrika juga mempunyai potensi yang banyak tetapi Malaysia mestilah berusaha untuk mengenal pasti keperluan Afrika dan mengenal pasti barangan Afrika yang boleh diimport dan barangan Malaysia yang boleh dijual di Afrika. Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia datang ke Afrika dan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan bertujuan bagi memasarkan produk-produk mereka di pasaran luar negara.

Tun Dr Mahathir berbincang dengan Macky sempena lawatan kerja bagi menghadiri Persidangan ICEA-III di Istana Presiden

Negara Malaysia bakal menerima manfaat daripada persidangan berkenaan antaranya menghidupkan semula persidangan yang diadakan pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir sebelum ini seperti Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dan Kerjasama Selatan-Selatan (SSC). Sepanjang tempoh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003, beliau banyak berusaha untuk SSC dan mewujudkan LID. Afrika mendapat banyak manfaat daripada projek perdana di bawah SSC. Ia menggalakkan rakyat Malaysia melabur di Afrika dan rakyat Afrika mengetahui lebih banyak mengenai Malaysia, bukan hanya sebagai negara tetapi juga rakan kongsi.

Sepanjang tempoh itu juga, dasar luar Malaysia secara konsisten memperjuangkan negara Selatan seperti Afrika, Amerika Latin dan Asean untuk menjadi negara yang kukuh serta berdikari dari aspek ekonomi dan politik. Insiatif utama Malaysia untuk SSC diterjemahkan menerusi penubuhan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). SSC merupakan rangka kerja yang luas untik kerjasama antara negara-negara Selatan dan merupakan bahagian penting dalam dasar luar Malaysia, selain ‘’Nilai Asia’’ dan ‘’Dasar Pandang Ke Timur’’. LID, yang diadakan setiap 2 tahun, dimulakan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1995 sebagai platform untuk pemimpin Malaysia dan Afrika meningkatkan hubungan. Kali terakhir LID diadakan ialah pada Jun 2011.

Perdagangan dua hala antara Malaysia-Afrika mampu meningkatkan ekonomi dan menguntungkan Malaysia

Walaupun lawatan kerja Tun Dr Mahathir Mohamad ke Senegal bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ketiga (ICEA-III) singkat tetapi amat signifikan, terutamanya kepada syarikat dan ahli perniagaan Malaysia. Justeru itu, negara Malaysia sewajarnya merebut peluang pelaburan dan perdagangan di Afrika kerana inilah masa yang terbaik ketika Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu tokoh yang amat dihormati pemimpin benua ini sekali lagi mentadbir negara. Selain itu, pelabur Malaysia wajar mengambil kesempatan ini untuk mengembangkan syarikat masing-masing ke Afrika dan boleh menjadikan Senegal sebagai pintu masuk ke benua ini. Kesediaan kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir untuk merapatkan semula hubungan Malaysia-Afrika perlu dijadikan sandaran oleh pelabur Malaysia untuk memulakan langkah baharu ke benua Afrika.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here