Usul memansuhkan UPSR telah diketengahkan sejak tahun 2016 dan sehingga kini Kementerian Pendidikan masih belum memberikan kata putus sama ada ia akan dimansuhkan lalu akan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Tindakan KPM yang masih tidak memberikan respon mengenai isu tersebut menyebabkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa KPM bersetuju memansuhkan UPSR.

Bagi pihak NUTP, UPSR perlu dimansuhkan agar dapat mengurangkan beban kepada murid-murid sekolah rendah sekaligus ia merupakan satu usaha untuk mentransformasikan sistem pendidikan.

Walaupun UPSR dimansuhkan, murid-murid masih dinilai dengan ujian berasaskan pentaksiran oleh pihak sekolah. Jadi, tidak bermakna murid-murid tidak dinilai terutamanya untuk kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Ujian bertujuan mencungkil potensi murid

Tidak dapat dinafikan bahawa UPSR ini selalu dijadikan kayu ukur oleh ibu bapa dan masyarakat terhadap tahap akademik anak-anak sehingga ibu bapa berasa kecewa jika anak-anak mereka tidak ‘skor’ dalam UPSR. Ibu bapa juga sanggup berhabis menghantar anak-anak ke pusat tuisyen seawal mungkin untuk mempersiapkan diri anak-anak untuk menghadapi UPSR.

Memang nampak seperti anak-anak masih kecil tapi sudah dibebankan dengan tugasan sekolah, tuisyen dan ujian. Tapi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya maka seharusnya dari peringkat awal anak-anak dididik dengan memikul tanggunjawab yang seharusnya dipikul agar dapat membesar menjadi insan yang berguna untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Ujian UPSR adalah ujian yang kecil berbanding ujian-ujian yang mereka akan tempuhi di masa akan datang. Tidak dapat dinafikan ujian UPSR ini akan memberikan tekanan kepada murid-murid namun ia bukanlah tekanan yang negatif. Jika dilihat dari sudut positif, tekanan ini akan menonjolkan fighting spirit di mana mereka berusaha bersaing untuk mendapatkan ilmu dengan lebih bersungguh-sungguh.

Ujian UPSR ini masih relevan dan sangat penting untuk menilai kemampuan serta kebolehan murid selepas 5 tahun persekolahan tanpa peperiksaan utama. Apa yang lebih penting adalah UPSR ini menjadi pengukur utama untuk mengenalpasti potensi murid-murid dan menempatkan mereka ke sekolah mengikut kecenderungan seperti di SBP, MRSM atau SMK.

Jadi cadangan untuk memansuhkan UPSR adalah kurang relevan dan tindakan memansuhkan ujian ini belum tentu mampu mengurangkan tekanan terhadap murid dan guru kerana sistem pendidikan di negara kita ini masih lagi berteraskan peperiksaan.

Malah tindakan memansuhkan UPSR ini hanya akan menyebabkan murid menjadi semakin malas dan boleh jadi guru-guru pun bersikap culas dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Akhirnya ia menjadi beban kepada guru di sekolah menengah kerana terpaksa menerima murid-murid yang kurang motivasi untuk belajar dan mempunyai ilmu asas yang tidak kukuh.

Jika UPSR dimansuhkan murid akan kehilangan minat untuk belajar bersungguh-sungguh

Oleh itu, isu memansuhkan ujian UPSR ini tidak wajar dilaksanakan kerana ujian ini masih penting bagi menilai kemampuan dan kebolehan murid-murid untuk ditempatkan di sekolah menengah mengikut aliran berdasarkan potensi mereka. Seharusnya kajian yang menyeluruh dan terperinci merangkumi kebaikan, keburukan kesan serta akibat jika UPSR dimansuhkan perlu diteliti sedalam-dalamnya sebelum keputusan dibuat kerana isu ini melibatkan pendidikan anak-anak. Tidak seharusnya pendidikan dijadikan bahan eksperimen untuk memenuhi kehendak sesetengah pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here