Isu penggunaan parkir kenderaan oleh pengusaha sebagai tempat menjalankan peniagaan telah lama menjadi masalah kepada pihak penguatkuasa kerajaan tempatan. Walaupun pelbagai langkah tegas telah diambil seperti menyita barangan perniagaan, namun masih terdapat pengusaha yang masih ingkar dan meneruskan perbuatan mereka. Apa yang agak menjengkelkan, bagi tujuan menghalang kenderaan menggunakan kawasan parkir tersebut, pengusaha-pengusaha yang mementingkan diri sendiri tersebut meletakkan pelbagai objek seperti tong sampah, kon dan kotak kosong.

Tindakan menghalang kenderaan menggunakan kawasan parkir akan menyebabkan kenderaan tersebut terpaksa mencari alternatif, seperti berlegar di kawasan parkir untuk mencari kenderaan atau melakukan kesalahan dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan,  depan pagar rumah dan perhentian bas. Keadaan ini membawa kepada kesesakan aliran trafik yang sudah tentu akan menyusahkan pengguna jalan raya.

Segelintir peniaga premis meletakkan tong sampah, kon atau kotak kosong di kawasan parkir awam sebelum operasi perniagaan mereka bermula

Penyalahgunaan kawasan parkir ini turut mempunyai banyak kesan buruk yang saling berkaitan. Selain menyusahkan pemilik kenderaan, peniaga-peniaga tersebut juga biasanya menjalankan perniagaan mereka tanpa lesen. Oleh kerana kawasan yang digunakan oleh mereka tidak mempunyai kemudahan yang sesuai, terdapat peniaga yang menyambung bekalan elektrik dan air secara haram. Sampah-sarap juga dibuang merata-rata. Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan pendapatan syarikat pembekal elektrik dan air, bahkan pihak berkuasa tempatan yang terpaksa membiayai kos membersihkan sampah-sarap yang dibuang oleh mereka. Selain itu, pembuangan sampah-sarap merata-rata turut menimbulkan risiko kebersihan.

Satu isu lagi yang timbul adalah tindakan pengusaha kedai makanan yang menggunakan kawasan parkir dan juga kaki lima sebagai tempat duduk pelanggan. Bagi mereka, adalah lebih jimat bagi meletakkan meja di kawasan parkir dan kaki lima daripada menyewa kawasan kedai yang lebih besar. Pelanggan-pelanggan yang duduk di tempat-tempat tersebut bagi menikmati makanan mereka mungkin merasakan bahawa perbuatan tersebut tidak ada apa-apa implikasi. Malangnya, dengan berbuat demikian, para pelanggan meletakkan diri mereka dalam risiko. Terdapat banyak kemalangan berlaku melibatkan pelanggan yang duduk di kawasan kaki lima atau parkir kereta. Sebagai contoh, pada November lepas, seorang wanita maut manakala empat lagi cedera berikutan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar orang awam yang menjamu selera di tapak parkir kereta di sebuah restoran Taman Equine di Seri Kembangan. Kemalangan tersebut tidak dijadikan pengajaran oleh sebuah restoran di Skudai yang masih meletakkan meja dan kerusi di parkir restoran. Akibatnya tiga orang pelanggan restoran tersebut nyaris maut apabila seorang pemandu gagal mengawal kenderaan dan merempuh mereka pada Februari lepas.

Kesesakan di jalan utama masuk ke kawasan sekitar Pasar Awam yang berpunca oleh aktiviti penjaja berlesen sendiri tidak berniaga dalam kotak niaga yang ditetapkan, selain, parkir kenderaan tidak bersusun

Tanpa tindakan tegas berterusan, penyalahgunaan kawasan parkir sebagai tempat perniagaan akan terus berterusan, dan seterusnya keselamatan pelanggan akan terjejas. Tindakan sita dan saman ke atas peralatan milik penjaja berkenaan perlu dilaksanakan di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan. Mana-mana penjaja yang ingkar dan kekal melanggar undang-undang tersebut boleh dikenakan tindakan senarai hitam dan lesen mereka boleh digantung. Selain itu, undang-undang yang lebih ketat dan tegas hendaklah diperkenalkan bagi menjadikan peniaga bertanggungjawab terhadap sebarang kecelakaan atau kemalangan yang berpunca dari tindakan mereka menyalahgunakan kawasan parkir kenderaan atau kaki lima kedai.

Walaupun penyalahgunaan kawasan parkir oleh pengusaha kelihatan seperti masalah kecil, hakikatnya perkara tersebut adalah satu isu yang besar. Oleh itu, kerajaan hendaklah bukan sahaja memberi fokus untuk mencegah perkara tersebut, bahkan mewujudkan kesedaran di kalangan orang awam supaya tidak mengunjungi perniagaan pengusaha-pengusaha tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here